Thursday, July 23, 2009

Home » » Chrome Sistem Operasi Web

Chrome Sistem Operasi Web

Share
Chrome Sistem Operasi Web

Persaingan sengit antara Windows dan Google dalam menghasilkan terhasillah Chrome.

KURANG daripada setahun Google memperkenalkan aplikasi pelayar Internet Chrome, kini mereka mengumumkan projek terbaru. Sistem Operasi Chrome merupakan kesinambungan kepada projek pelayar web mereka yang telah digunakan oleh lebih daripada 30 juta pengguna di seluruh dunia.

Google Chrome direka khusus untuk mereka yang banyak bergantung kepada Internet, menghabiskan masa dengan mencari maklumat, berhubung menerusi e-mel, bersosial melalui rangkaian sosial seperti Facebook, mendapatkan berita terkini atau membeli-belah secara talian.

Pengguna komputer riba

Sistem operasi yang menjadi nadi kepada pelayar Internet direka lebih awal ketika era sebelum kewujudan laman web. Bertitik-tolak dari situ, Google mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah sistem operasi yang mampu menjadi penyambung kepada Google Chrome - satu langkah untuk memperhalusi rekabentuk sesebuah sistem operasi.

Sistem operasi Chrome merupakan sistem operasi sumber terbuka dan bersifat ringan. Ia disasarkan kepada pengguna komputer riba netbook. Sistem operasi itu dijangka bakal menemui pengguna sekitar pertengahan tahun 2010.

Pantas, selamat dan mudah merupakan tiga kunci utama dalam membangunkan sistem operasi Chrome. Komputer yang lengkap dengan sistem operasi ini dijangka mampu dihidupkan dalam masa yang singkat dan pengguna mempunyai akses pantas ke Internet, semua ini dalam masa beberapa saat sahaja.

Paparan antaramuka pengguna (GUI) dijangka tidak diberikan penekanan, sebaliknya dibangunkan pada kadar yang minimum bagi memendekkan masa booting atau tempoh yang diambil untuk sesebuah sistem operasi untuk dihidupkan. Pengalaman berbeza menggunakan Chrome berbanding sistem operasi lain dijangka akan dapat dirasai pengguna ketika melayari web.

Sistem kernel

Sistem operasi itu dijangka akan mengekalkan ciri asas dengan reka bentuk sekuriti sistem operasi akan dirombak semula bagi mengelakkan pengguna daripada ancaman seperti virus dan malware yang menjadi masalah utama sebuah sistem operasi.

Google Chrome dijangka boleh digunakan pada platform x86 (Intel) dan juga cip ARM. Google juga kini sedang berbincang dengan pengeluar komputer netbook untuk mengeluarkan produk yang menggunakan sistem operasi ini tahun hadapan.

Sistem operasi Google itu dibangunkan berasaskan kernel sistem operasi sumber terbuka Linux. Dari sudut aplikasi, web merupakan platformnya. Kesemua aplikasi berasaskan web akan beroperasi secara automatik dan aplikasi baru boleh ditulis menggunakan teknologi web pilihan pengguna.

Apa yang pasti, aplikasi yang dibangunkan berasaskan web ini bukan hanya boleh dijalankan pada Chrome, tetapi juga pada pelayar web seperti Linux, Mac dan Windows, sekali gus memberikan pembangun perisian asas pengguna terbesar pada mana-mana platform.

Pantas

Pembangunan Chrome itu merupakan hasil kajian dan soal selidik yang dijalankan sebelum ini. Rata-rata pengguna mahukan suasana pengkomputeran yang lebih baik dari yang sedia ada. Mereka mahukan e-mel diakses dengan mudah dan pantas, tanpa perlu menghabiskan masa untuk menghidupkan komputer atau pelayar web dilancarkan.

Pengguna juga mahukan sebuah komputer yang sentiasa pantas, sepantas hari pertama ia dimiliki. Selain itu, mereka juga mahukan kebebasan dan fleksibiliti dalam mengakses data. Menurut hasil kajian, pengguna mahu mengakses data tanpa perlu memikirkan risiko kehilangan data apabila komputer hilang, rosak atau terlupa membuat salinan data.

Setelah memahami kesemua kehendak pengguna ini, Google mengambil keputusan untuk mengatasi permasalahan pengguna dengan memperkenalkan Chrome. Namun apa yang pasti, 'raja' sistem operasi - Windows tidak akan berdiam diri dengan keputusan pembangun enjin carian ini. Mereka yang tidak pernah kering idea tentunya akan terus berusaha memastikan mahkota mereka tidak dirampas dengan mudah oleh Chrome.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Singgah je???Komen la sikit.:-D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive