Wednesday, January 13, 2010

Home » , » Bijak Guna ICT Seiring Tuntutan Islam

Bijak Guna ICT Seiring Tuntutan Islam

Share

Bijak Guna ICT Seiring Tuntutan Islam

DALAM era Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) yang pesat berkembang kini, pelbagai maklumat dan berita boleh didapatkan dengan segera dan kemudian disebarkan kepada umum melalui berbagai-bagai saluran seperti panggilan telefon, sistem pesanan ringkas dan internet.

Namun, sejauh manakah kita mengaplikasikan ajaran Islam dalam kehidupan kita dalam era ini?
Apabila kita berkata mengenai teknologi maklumat, sudah pasti pelbagai maklumat dan berita terkini boleh kita dapatkan daripada pelbagai sumber. Namun isunya sekarang, sejauh manakah kebenaran maklumat dan berita tersebut dapat dipastikan?

Di dalam al-Quran ada tertulis dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu mengenainya - sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.


Dalam konteks masyarakat sekarang yang dimudahkan dengan pelbagai saluran untuk mendapatkan maklumat, sesuatu perkara boleh disebarkan ke seluruh dunia hanya dalam beberapa saat selepas sesuatu kejadian berlaku. Dengan pelbagai jaringan sosial interaktif seperti Facebook dan Twitter, sesuatu perkara boleh diperkatakan dan disebarkan kepada umum dalam masa yang singkat. Namun begitu, amalan memeriksa kesahihan sesuatu berita masih lagi perlu dilakukan.

Sebagai contoh, jangan keluarkan kenyataan di Twitter mengenai sesuatu perkara yang belum dapat dipastikan kebenarannya. Ini kerana jika berita yang disampaikan sebenarnya tidak benar, ia sudah pasti akan menzalimi orang yang berkenaan yang kesannya sudah pasti tidak dingini oleh pihak-pihak yang terlibat baik untuk jangka masa panjang mahupun pendek.


Selain itu, ada sesetengah daripada kita yang gemar memanjangkan e-mel kepada orang lain. Hanya dengan beberapa klik, maklumat yang terkandung di dalam e-mel tersebut boleh dibaca oleh penerima-penerima e-mel lain yang seterusnya mungkin akan memanjangkan kepada penerima-penerima e-mel yang lain pula.
Isu pokoknya ialah, sebelum sesuatu e-mel dipanjangkan kepada mana-mana pihak, sejauh mana isi kandungan e-mel tersebut sudah diperiksa akan kesahihannya?

Jika kita tidak pasti ataupun tiada cara untuk mendapatkan kepastian, kita boleh mengambil jalan selamat dengan berdiam diri dan bukannya menokok tambah dan menghangatkan lagi spekulasi ataupun gosip tersebut. Selain itu, dalam kelimpahan pelbagai jaringan sosial interaktif, bermacam-macam aplikasi yang dimuatkan di dalamnya sangat menarik perhatian dan minat untuk mencuba. Seperti di dalam Facebook, terdapat banyak permainan atas talian, kuiz dan pautan yang biasanya menyeronokkan dan menghiburkan hati malah boleh dikongsikan bersama-sama rakan-rakan di dalam jaringan sosial tersebut.

Namun begitu, kita perlu bijak memilih aplikasi tertentu yang lebih banyak membawa kebaikan dan mengelak daripada menggunakan aplikasi yang melalaikan, membuang masa dan tidak berfaedah.
Elakkan daripada menggunakan aplikasi yang boleh menjatuhkan maruah diri, memberikan imej yang tidak baik kepada si pengguna mahupun mengganggu hak kebersendirian orang lain.

Apatah lagi jika aplikasi tersebut dianggap boleh menghakis akidah penggunanya seperti dalam aplikasi Tok Nujum, kuiz bertajuk "Bila kamu akan mati?" dan sebagainya.
Itu belum lagi dibincangkan mengenai permainan atas talian yang mengandungi unsur-unsur ganas, tahyul, kezaliman dan ketidaksopanan yang tidak lain hanya membazirkan masa, tidak mendatangkan banyak faedah malah mencemarkan nilai-nilai murni.

Selain itu, memang tidak dinafikan terdapat banyak laman sesawang dan blog yang pada zahirnya seperti ditulis seiring dengan tuntutan dan ajaran agama. Namun begitu, kita perlu berhati-hati dalam memilih dan menerima maklumat yang disampaikan apatah lagi yang melibatkan fatwa, tafsiran ayat-ayat al-Quran dan hadis, dan sebagainya.


Oleh sebab keterbukaan dunia teknologi maklumat, musuh-musuh agama bebas untuk menggunakan saluran tersebut untuk menyelewengkan akidah dan pegangan umat Islam.
Kita sebagai pengguna internet pula seharusnya perlu menyelidik latar belakang penulis laman sesawang dan blog tersebut sebelum menerima apa-apa yang tertera dan dibincangkan dalam saluran tersebut.

Justeru, teknologi maklumat sememangnya boleh dijadikan saluran untuk mendapatkan perkembangan terbaharu dunia, namun begitu, kita harus bijak menggunakan teknologi tersebut dan tidak mudah terjebak dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

Sumber: www.utusan.com.my

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Singgah je???Komen la sikit.:-D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive