Monday, January 30, 2012

Petua Cinta Jarak Jauh

Share

Petua Cinta Jarak Jauh

Bercinta jarak jauh bukan satu perkara yang mudah ditangani kerana apabila orang yang begitu disayangi berada jauh dari sisi, hati merindu dendam dan kepercayaan terhadap pasangan harus menebal agar tidak dimamah cemburu ketika menunggu waktu untuk bersama kembali.

Dibawah merupakan tips yang boleh diguna pakai oleh pencinta jarak jauh dalam mengekalkan hubungan cinta masing-masing walaupun jarak menjadi penghalang.


1. Jelas dengan Harapan dan Batasan

Sebelum bermula untuk meneroka dunia cinta jarak jauh, pasangan harus mempunyai harapan dan batasan. Sebagai contoh, Nazri terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur kerana mendapat tawaran sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta. Teman wanitanya, Aina tidak boleh turut serta kerana mempunyai komitmen kerja di Johor Bahru dan mereka belum merancang untuk mendirikan rumahtangga dalam tempoh yang terdekat. Untuk memulakan perhubungan cinta jarak jauh mereka, Nazri dan Aina membuat perjanjian untuk berhubung at least sekali sehari tidak kira bagaimana sibuk pun mereka. Mereka berjanji tidak akan meluahkan masalah dengan teman lain yang berlainan jantina kerana apabila berjauhan. Jika mereka punya cuti, masing-masing akan cuba untuk berjumpa. Jadi dengan mengenal pasti harapan dan batasan, pasangan akan lebih memahami apa yang perlu dan apa yang jangan dilakukan ketika berjauhan.


2. Menghargai Kebebasan

Jangan sentiasa murung dan berteman airmata ketika berjauhan akibat dibuai rindu yang amat sangat. Dia berada jauh dari sisi, tentu sekali perasaan rindu begitu kuat sekali. Ketika berjauhan daripada pasangan anda, hargai kebebasan yang dikecapi dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang membuat anda ceria seperti menonton wayang dengan teman-teman, membaca buku kegemaran ketika sunyi atau menonton bola hingga lewat pagi. Nazri yang berjauhan dengan teman wanitanya, dia sering menghabiskan masa dengan melayari internet sebagai hobi ataupun bermain futsal bila waktu lapang. Menghargai kebebasan ketika berjauhan akan membentuk diri anda untuk menjadi seorang individu yang matang dan dalam pada masa yang sama membina komitmen anda terhadap perhubungan.


3. Luahkan Perasaanmu

Kalau dekat-dekat malu untuk meluahkan apa yang terpendam, inilah masanya untuk intim dengan pasangan. Walaupun berada jauh antara satu sama lain, kata-kata indah yang diluahkan boleh menjadi penawar rindu. Sesekali gunakan cara tradisional dengan menghantar surat kepada pasangan anda berbanding berkomunikasi menggunakan emel. Nyatakan bagaimana perasaan anda terhadap pasangan anda di dalam surat itu. Luahkan apa yang terpendam dan kongsikan perasaanmu bersama si dia kerana kata-kata mampu memanah jiwa, memupuk asmara.


4. Pancawarnakan Kehidupanmu

Untuk suami isteri yang berjauhan, jangan malu bercerita tentang seks atau berkongsi fantasi ketika berjauhan. “Kalau abang ada di rumah sekarang, sayang nak buat apa pada abang?” Dengan berkongsi fantasi dan keinginan, pasangan suami isteri akan dihujani chemistry yang mengujakan! Untuk mereka yang masih bujang, hantar kad yang menarik atau kadang-kadang mungkin boleh kejutkan dia dengan kiriman bunga atau hadiah.


5. Mempercayai Satu Sama Lain

Percaya perlu menebal dalam diri. Tak guna bertunjangkan cemburu dalam melayari perhubungan jarak jauh. Perasaan prasangka dan tak percaya hanya akan merosakkan perhubungan. Daripada merungut tentang kesukaran apabila berjauhan, mulakan perbualan dengan bertanya khabar tentang dia dan apa aktiviti yang dia lakukan. Sentiasa ceria dan maintain positif agar anda tidak bosan walaupun berjauhan.

Secara ringkasnya, bukan jarak yang menjadi sebab terputusnya hubungan, tetapi kurang memahami pasangan dan kurang komitmen dalam perhubungan sering menjadi faktor penyebab. Tidak ada apa yang perlu digusarkan apabila berjauhan jika masing-masing komited dengan pasangan masing-masing dan berusaha untuk memastikan perhubungan yang sihat dan berkekalan.

Sunday, January 29, 2012

Misteri Suara Dari Langit di Kota Samarahan Akan Terjawab?

Share
 
Misteri Suara Dari Langit di Kota Samarahan Akan Terjawab?


PETRA JAYA: Kejadian aneh ‘suara dari langit’ yang menggemparkan penduduk sekitar Kota Samarahan dekat sini pada 11 dan 12 Januari lalu, akan terjawab minggu depan apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan hasil siasatan pakar mereka.

Timbalan Menteri, Sains dan Teknologi, Datuk Fadillah Yusof, berkata pihaknya yakin kejadian aneh itu mempunyai penjelasan dari sudut saintifik yang dapat diterima semua pihak, sekali gus menolak beberapa andaian tidak logik.

Katanya, rakaman dan temu bual dengan penduduk yang mendengar suara aneh itu dibuat pasukan penyiasat dari Kuala Lumpur dengan jawatankuasa kementeriannya sedang menilai perkara berkenaan.

“Keputusan rasmi mengenai kejadian berkenaan akan dibuat oleh pihak MOSTI minggu depan selepas semua siasatan termasuk mendengar kembali bunyi aneh itu oleh pakar, dilaksanakan.

“Laporan awal mendapati kemungkinan besar bunyi berkenaan berpunca daripada pendandang kilang sawit milik FELCRA di Samarahan dengan pengesahan lanjut akan dibuat selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Parlimen Petra Jaya, di sini, semalam.

Baru-baru ini, penduduk di sekitar Kota Samarahan mendengar bunyi aneh antara jam 1 pagi hingga 5 pagi pada hari berkenaan dan ia mencetuskan pelbagai andaian penduduk di negeri ini dan tersebar dalam Youtube.

Sumber: Berita Harian Online


Komen Mufti Perlis

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya dalam satu artikelnya ‘suara dari langit’ pada 2 September tahun lepas pernah menjelaskan ada satu hadis Rasulullah yang menyatakan tentang huru hara besar akan terjadi pada tengah malam pertengahan Ramadan, di mana akan menyebabkan semua orang terjaga dari tidurnya.

Katanya, hadis itu menggambarkan ada satu suara yang amat dahsyat akan kita dengari dari langit, bukan kiamat tetapi huru hara tersebut akan melenyapkan umat manusia di atas muka bumi ini sebanyak dua pertiga, yang tinggal hanya satu pertiga sahaja.

“Menurut kajian Agensi Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), pada 21 Disember 2012 satu planet yang dikenali Planet X akan melintasi bumi.

“Adakah kita semua ini tergolong dalam satu pertiga itu? Adakah ia akan berlaku pada 2012? Peristiwa itu pasti akan berlaku mengikut hadis Rasulullah”, katanya.

Hadis tersebut diriwayatkan daripada Nu’aim bin Hammad bahawa Rasulullah pernah bersabda : Bila telah muncul suara di bulan Ramadan, maka akan terjadi huru hara di bulan itu.

“Kami bertanya : Suara apakah, ya Rasulullah? Rasulullah menjawab : ‘ Suara keras’ di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras membangunkan orang tidur, manjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa.

‘Jika kalian melaksanakan solat Subuh pada hari Jumaat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian’.

‘Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah : Maha suci AlQuddus, Maha suci Al-Quddus,, Rabb kami Al-Quddus, kerana barang siapa melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu akan binasa’. 

Sumber: muftiperlis.gov.my


Komen Mufti Perak

KUALA LUMPUR – ‘Suara aneh dan menakutkan dari langit’ yang berlaku di Kota Samarahan, Sarawak, baru-baru ini mungkin merupakan satu amaran kepada umat Islam di akhir zaman ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, setiap umat Islam wajar mengambil iktibar atas kejadian-kejadian ganjil yang berlaku yang mungkin menjadi petanda kemurkaan Allah atas dosa-dosa yang dilakukan selama di muka bumi ini.

“Setiap yang ganjil berlaku di dunia ini wajar diambil iktibar oleh semua umat Islam..mungkin ia adalah amaran kepada kita..Rasulullah pun ada sebut kita ni umat akhir zaman…banyak petanda yang sudah berlaku…

“Kita perlu merenung diri bermuhasabah diri..terlalu banyak dosa yang kita lakukan, kita merupakan umat paling maju dan bertamadun..namun kita lupa Tuhan, kita semakin kufur padaNya, malah ada suara-suara yang berani mencabar Allah sekarang ni..,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.my di sini hari ini.

Tidak menolak kejadian aneh tersebut sebagai salah satu petanda akhir zaman, Harussani turut menjelaskan bahawa beberapa perkara lain yang disebutkan Rasulullah SAW telah berlaku yang menguatkan dakwaan tersebut.

“Dah banyak petanda akhir zaman dah berlaku..hukuman yang pernah diturunkan Allah pada kaum-kaum terdahulu pun dah terjadi juga pada zaman sekarang.

“Rasulullah ada sebut dulu..ada orang yang akan tenggelam dalam bumi, dah berlaku kejadian manusia mati tenggelam dalam tanah runtuh..gempa bumi pun makin kerap berlaku, tiap-tiap bulan kita dengar ada gempa bumi…

“Anak-anak zina pun makin ramai, dah berpuluh-puluh ribu dah..dunia pun dah ada angin ‘sar-sar’, angin ‘sar-sar’ ni ialah angin batu, sekarang ni pun dah ada dah berlaku bencana ni..angin ‘sar-sar’ ni dulu diturunkan Allah kepada umat Nabi Luth,” ulasnya lagi.

Justeru, Mufti Perak itu menasihati umat Islam agar mengambil iktibar di atas segala kejadian yang berlaku kini dan bermuhasabah diri serta kembali kepada agama Allah yang sebenar sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Insiden ‘bunyi aneh dan menakutkan’ dari langit yang berlaku di Kota Samarahan tersebut heboh diperkatakan di seluruh dunia dan dilaporkan pernah berlaku di Aaborg, Denmark dan Sweden pada tahun lalu.

Ekoran kejadian tersebut, timbul pelbagai andaian dari masyarakat umum yang mengaitkannya dengan fenomena akhir zaman dan merupakan petanda besar bahawa hari kiamat sangat hampir tiba sebagai pengakhiran dunia.

Selain itu, timbul juga andaian yang menyatakan bahawa insiden itu berpunca dari sebuah program yang dikenali sebagai “High Frequency Active Auroral Research Programme” (HAARP) yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat secara rahsia. Bagaimanapun, tiada bukti yang menyokong hujah HAARP tersebut memandangkan kejadian itu berlaku di merata dunia dan amat mustahil melibatkan program yang berpengkalan di Gakona, Alaska tersebut.-

Sumber: mynewshub.my


Video suara aneh tu boleh tengok kat sini

Friday, January 27, 2012

10 Filem Malaysia Dengan Kutipan Tertinggi Tahun 2011

Share

10 Filem Malaysia Dengan Kutipan Tertinggi Tahun 2011

Tahun 2011 menyaksikan banyak filem tempatan yang berjaya mendapat kutipan tertinggi dan sambutan luar biasa daripada penonton. Ia merupakan petanda baik buat semua penggiat seni tanah air untuk sentiasa memantapkan karya mereka bagi tatapan penggemar filem.

Mari kita saksikan sepuluh filem tempatan yang mendapat kutipan tertinggi sepanjang tahun 2011 mengikut carta yang diambil daripada laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).




KL GANGSTER

Pada saat ini, filem arahan Syamsul Yusof merupakan filem tempatan yang mendapat kutipan tertinggi. "KL Gangster" yang diterajui oleh Aaron Aziz, Adyputra dan juga Syamsul sendiri ini berkisarkan permusuhan dunia samseng di ibu kota. Filem ini telah berjaya mendapat kutipan RM11.74 juta dan kejayaan "KL Gangster" tidak berhenti di situ sahaja apabila Syamsul diangkat sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24. Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa penggemar filem dahagakan filem aksi selepas industri filem dikuasai oleh genre seram satu ketika dulu. 



OMBAK RINDU

Berjaya mendapat kutipan sebanyak RM10.9 juta secara keseluruhan, filem arahan Osman Ali yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari ini berjaya mencipta satu fenomena apabila ia ditayangkan di pawagam pada 1 Disember 2011. Menggandingkan pelakon hebat dan popular seperti Maya Karin, Aaron Aziz, Lisa Surihani dan Bront Palarae, "Ombak Rindu" menyaksikan perjalanan kisah hidup Izaah yang penuh dengan onak dan duri. 



HANTU BONCENG

Filem yang menggandingkan aktor kelakar Zizan Raja Lawak dan aktres Juliana Evans ini dikatakan berjaya mencipta 'hubungan cinta' antara dua peneraju utamanya apabila dilihat mesra bersama. Filem arahan Ahmad Idham ini telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM8.53 juta, mempertaruhkan genre yang menjadi kegilaan penonton tempatan iaitu komedi seram. "Hantu Bonceng" mengisahkan seorang mat rempit yang diganggu oleh hantu wanita yang mati dalam satu kemalangan ketika bersamanya.



KONGSI

Filem arahan Farid Kamil ini merupakan saingan hebat buat filem "KL Gangster" arahan Syamsul Yusof ketika Festival Filem Malaysia ke-24 tahun lalu. Malah apabila Syamsul dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, muncul khabar angin kononnya Farid tidak berpuas hati. Walaubagaimanapun "Kongsi" telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM8.09 juta. Tidak dinafikan jalan cerita yang menarik, elemen komedi yang diselitkan dan semestinya peneraju utama Shaheizy Sam adalah tarikan filem "Kongsi" mendapat perhatian ramai. Ia mengisahkan seorang pembunuh upahan yang ditugaskan membunuh setiap ketua kongsi gelap di Malaysia.



KHURAFAT

Ini merupakan filem kedua arahan Syamsul Yusof yang berjaya mencatat kutipan tinggi untuk tahun 2011. Ditayangkan pada awal Januari, ia berjaya mencatat kutipan lebih RM8 juta. Dilakonkan oleh Syamsul sendiri bersama aktres muda Liyana Jasmay, memang tidak dinafikan keunikan jalan ceritanya serta imej seram yang begitu efektif menjadi tarikan utama penggemar filem ke panggung, walaupun pasti ada yang mempertikaikan kesesuaian dan keserasian antara pasangan ini. 



HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

"Hikayat Merong Mahawangsa" (HMM) pernah dikatakan 'tidak layak' diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 tahun lalu. Walaupun berjaya mendapat kutipan sebanyak RM6.5 juta di Malaysia dan kurang daripada apa yang disasarkan, filem ini dilaporkan tidak begitu mendapat sambutan di peringkat antarabangsa. Walaubagaimanapun pujian harus diberikan kepada KRU Studios kerana mengambil langkah berani untuk menghasilkan filem yang sarat dengan teknik penjanaan imej berkomputer (CGI) ini dan ia merupakan sesuatu baru kepada industri filem tempatan. 



 NUR KASIH THE MOVIE

Kisah percintaan Adam dan Nur Amina ini berjaya mendapat kutipan sebanyak RM4.93 juta. Diadaptasi daripada drama bersiri "Nur Kasih", filem arahan Khabir Bhatia ini sememangnya dinanti-nantikan oleh pengikut "Nur Kasih" yang ingin mengetahui kesudahan kisah Adam dan Nur. Begitu hebat penangan kisah ini sehinggakan peneraju utama, Remy Ishak dan Tiz Zaqyah kini menjadi pasangan kekasih di sebalik tabir.



BINI-BINIKU GANGSTER

Sebelum ini mereka pernah digandingkan bersama dalam filem "Adnan Sempit". Kini Shaheizy Sam, Yana Samsudin dan Intan Ladyana digandingkan sekali lagi filem arahan Ismail Bob Hashim berjudul "Bini-Biniku Gangster". Hasilnya, filem ini berjaya mendapat kutipan RM4.71 juta. Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang beristeri dua tidak mengetahui bahawa kedua-dua isterinya adalah ketua gangster untuk dua kumpulan yang bermusuh. Skrip filem "Bini-Biniku Gangster" adalah hasil garapan Yana Samsudin sendiri. 



KARAK

Filem bergenre seram terbitan KRU Studios ini berjaya mendapat kutipan sebanyak RM4.28 juta. Filem arahan Yusry Abdul Halim ini menyaksikan kemunculan pertama juara "Akademi Fantasia" musim kelapan, Shahir. "Karak" mengisahkan sekumpulan pelajar yang mengikut Lebuhraya Karak untuk memintas kesesakan lalu lintas kerana perlu menghadiri kelas keesokannya. 


  
SUATU MALAM KUBUR BERASAP

Filem bercorak komedi seram arahan Ernie Chen ini telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM3.99 juta walaupun ia bukanlah jumlah kutipan akhir kerana filem ini masih lagi ditayangkan di pawagam. Walaupun dikritik hebat kerana dikatakan tiada kelainan jika dibandingkan dengan filem komedi seram lain, "Suatu Malam Kubur Berasap" yang menampilkan Angah Raja Lawak dan Along Cham ini masih mendapat tumpuan di pawagam.

Sumber: Yahoo Malaysia

Thursday, January 26, 2012

10 Cara Memenangi Hati Mertua

Share

10 Cara Memenangi Hati Mertua 

1. Sebaik sahaja anda sah sebagai tunangannya, mulakan berkenal kenalan dengan keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.

2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama. Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain sebagai tanda kenangan.

3. Kenali sikap sebenar mertua anda. Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.

4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya dihadapan mereka. Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua.

5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri..

6. Berkongsi minat dengannya. Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.

7. Apabila tiba hari-hari penting seperti ketibaan Hari Ibu, Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.

8. Paling penting, jaga pertuturan anda. Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung perasaan keluarga mertua.

9. Setelah selesai majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut. Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk,kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun anda keletihan, tetapi cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.

10. Akhir sekali, cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri. Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat.Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan anak mereka, pastikan anda sentiasa menghubungi sekadar bertanya khabar.

Wednesday, January 25, 2012

Friday, January 20, 2012

50 Langkah Menjadi Suami Mithali

Share

50 Langkah Menjadi Suami Mithali

 
Langkah Bestari Suami Mithali ( Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah)

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa. 
 
2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik. 
 
3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda. 
 
4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah. 
 
5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ? 
 
6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut. 
 
7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri. 
 
8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan. 
 
9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan. 
 
10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri. 
 
11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda. 
 
12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah. 
 
13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan Penampilan diri sendiri. Mana adil ? 
 
14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin. 
 
15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam. 
 
16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera 
 
17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan. 
 
18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan. 
 
19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang menbeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ? 
 
20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai. 
 
21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami.Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga. 
 
22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak. 
 
23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah. 
 
24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini. 
 
25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia. 
 
26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa. 
 
27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang. 
 
28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga. 
 
29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah. 
 
30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah. 
 
31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita. 
 
32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum. 
 
33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan. 
 
34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga.

Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ? 
 
35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga. 
 
36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga. 
 
37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah. 
 
38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak. 
 
39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji. 
 
40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah. 
 
41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu. 
 
42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa. 
 
43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia. 
 
44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya. 
 
45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, Pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama. 
 
46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian. 
 
47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati. 
 
48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur. 
 
49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, Rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa. 
 
50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riaadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.



Kenapa Kulit Cepat Rosak?

Share

Kenapa Kulit Cepat Rosak?

Tanpa disedari kadang kala sesetengah tabiat seharian kita memberi kesan buruk pada kulit termasuk berjerawat, kusam dan kering tidak bermaya. Antara tabiat buruk tersebut termasuklah:

 

Bercakap di telefon terlalu lama

Menjadi kebiasaan kita meletakkan telefon bimbit di sebarang tempat termasuk di tempat-tempat berdebu seperti dalam beg, atas meja, dalam kereta dan sebagainya. Tanpa disedari ia boleh menyebabkan jerawat pada muka apabila pipi bersentuhan dengan telefon akibat bercakap di talian terlalu lama. Untuk mengelakkannya lap dulu telefon sebelum menggunakannya.


Kerap mengerutkan mata

Tabiat sesetengah daripada kita tidak gemar mengenakan kaca mata atau lensa sesentuh walaupun penglihatan agak kabur. Ini membuatkan anda mengerutkan muka dan mengecilkan mata untuk melihat objek dengan lebih jelas. Jika perbuatan ini berlarutan kesannya kulit akan cepat berkerut dan kelihatan tua.


Penggunaan penyembur rambut (hair spray)

Banyak yang menggunakan tapak tangan untuk melindungi mata ketika menggunakan penyembur rambut. Tapak tangan tidak dapat melindungi seluruh wajah kerana partikal-partikal kecil daripada penyembur rambut akan menembusi celah-celah jari dan melekat pada wajah yang boleh menjejaskan kulit. Seeloknya gunakan tuala bersih untuk melindungi wajah ketika menggunakan penyembur rambut


Malas mengganti sarung bantal

Ketika tidur, sel-sel kulit mati di wajah akan melekat pada sarung bantal. Lama kelamaan ia menebal dan timbul bakteria. Jadi jika malas mengganti sarung bantal bermakna anda tidur di atas timbunan bakteria.


Kerap mandi air panas

Mandi air panas memang nikmat. Tapi jika terlalu kerap dan tempohnya terlalu lama, lapisan luar epidermis akan terkikis dan kulit akan jadi sangat kering. Kulit kering lebih cepat kendur dan berkedut.


Sumber: Utusan Online

Thursday, January 19, 2012

Mandi Malam Baik untuk Kesihatan?

Share


Mandi Malam Baik untuk Kesihatan?


Adakah ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan?

Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan. Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?

Dr Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan bahawa kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan dari kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Katanya mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

“Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetis, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita.

Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini,” kata beliau.


Kebaikan Mandi

Menurut Dr Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.

“Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu. Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?

Kata Dr Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.

“Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

“Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, mana-mana pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi”.

Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.

“Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan,” katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria dari permukaan kulit.

“Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun anti bakteria,” katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.

“Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam,” kata beliau.


Ekzema

Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan.

Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.

“Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan,” terang Dr Tan.

Katanya rawatan bagi kulit yang kering ialah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik adalah berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu.

“Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering. Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air dari kulit.

“Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang punya masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit,” terang Dr Tan.



Jadual kerja ketat

Tetapi ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang punya masalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.

Pengamal perubatan Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.

Katanya ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.

“Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita.

“Masalah itu boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita,” kata beliau.

Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?

“Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini. Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air dari paip.

“Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar di mana masyarakat menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti dari binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita dari mandi waktu malam.

“Kini kita semakin maju dan punya kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur,” kata beliau.

Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merelakskan otot badan.

“Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.

“Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit,” katanya.

Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?

Kata Hassan: “Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat”.

Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.

“Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur),” tambah beliau.

Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.

Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.


Sumber: Utusan Online




Orang dulu-dulu nasihat jangan mandi malam sebab takut orang skodeng je. Dulu mana ada bilik mandi macam sekarang ye dak. Mandi kat telaga je^_^

Wednesday, January 18, 2012

Tuesday, January 17, 2012

35 Fakta Mengenai Lelaki

Share


35 Fakta Mengenai Lelaki

1. Lelaki biasanya tidak terpikat terhadap wanita disebabkan mereka cantik, tetapi mereka lebih mudah terpikat terhadap personaliti dan ketrampilan seseorang itu.

2. Lelaki amat bencikan lelaki lain yang cuba untuk menggoda kekasih mereka.

3. Apa yang sedang awak lakukan? atau Awak dah makan ke belum? adalah merupakan soalan paling kerap akan ditanya ketika mereka menelefon seorang wanita.

4. Lelaki akan sibuk dengan pekerjaan mereka sepanjang hari, tetapi sebelum tidur, pasti mereka akan memikirkan mengenai wanita yang mereka benar-benar sayang.

5. Apabila lelaki benar-benar sayang terhadap seorang wanita, mereka akan cuba mengabaikan semua karakter negatif yang ada pada wanita tersebut.

6. Lelaki akan membuat seribu satu kesimpulan sekiranya seorang wanita senyum kepada mereka.

7. Lelaki sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan perhatian daripada seorang wanita.

8. Lelaki amat benci apabila wanita menceritakan mengenai kisah bekas teman lelaki mereka.

9. Seorang lelaki mampu menyukai wanita untuk seminit, kemudian mampu untuk terus melupakan mereka.

10. Apabila seorang lelaki bersedia untuk berjumpa ibubapa kekasih mereka, ini menunjukkan mereka benar-benar serius.

11. Lelaki juga akan menangis kerana kekasihnya.

12. Lelaki akan lebih untuk berusaha memikat wanita yang menolak cinta mereka, ini adalah kerana mereka sukar untuk menerima kekalahan.

13. Jangan sesekali memberikan mereka mesej tergantung seperti “Ada sesuatu nk bgtau awak ni…. erm… tapi takpela”. Mereka akan membuat seribu satu andaian dan akan berusaha untuk mendapatkan jawapan.

14. Lelaki akan teruja apabila mendapat sentuhan yang tidak diduga.

15. Lelaki akan menjadi gagap apabila bercakap dengan wanita yang mereka suka.

16. Apabila wanita menyatakan tidak, hati lelaki akan menyatakan ‘ok…. takpe…. cuba lagi esok..’

17. Lelaki amat sayang ibu mereka.

18. Lelaki sanggup mengorbankan makan tengahari mereka semata-mata ingin memberikan wanita beberapa kuntum bunga ros.

19. Lelaki amat sukar untuk difahami melainkan anda seorang pendengar yang setia.

20. Adalah lebih baik anda menguji seorang lelaki itu terlebih dahulu sebelum mempercayainya. Tetapi, pastikan ia tidak mengambil masa yang terlalu lama.

21. Lelaki lebih bersikap terbuka untuk menceritakan hal peribadi mereka.

22. Lelaki amat suka apabila wanita yang menentukan pemakaian mereka.

23. Lelaki tidak suka kekasih mereka mempunyai hubungan rapat dengan orang lain terutamanya kawan lelaki.

24. Apabila lelaki membelikan hadiah kepada wanita, mereka amat risau sekiranya hadiah yang mereka berikan tidak disukai.

25. Lelaki lebih banyak berfikir.

26. Imaginasi lelaki tiada had. Mereka mampu untuk membayangkan apa sahaja.

27. Sukar untuk lelaki untuk melepaskan kekasih mereka terutama apabila sudah bercinta melebihi 3 tahun.

28. Lelaki tidak sukakan wanita yang materialistik.

29. Lelaki memiliki semangat yang kuat untuk berubah dan ianya perlu sokongan yang kuat daripada kekasih mereka.

30. Apabila lelaki menceritakan sesuatu yang serius, berikan perhatian yang sepenuhnya. Ia amat penting.

31. Lelaki lebih gemarkan wanita yang pandai memasak.

32. Lelaki belajar mengenai cinta melalui pengalaman, bukan seperti wanita yang belajar mengenai cinta melalui novel yang mereka baca.

33. Lelaki paling tidak suka kekasih mereka keluar bersama lelaki lain berdua walaupun hubungan mereka hanya sekadar kawan.

34. Lelaki akan memaafkan kesalahan yang pertama dibuat, tetapi bukan untuk kesalahan yang kedua.

35. Lelaki tidak suka wanita yang terlampau mengada-ngada.

Monday, January 16, 2012

Orang Minyak Dalam Botol?

Share

Orang Minyak Dalam Botol?

GOMBAK – Tiga pakar ilmu Islam bergabung. Pengalaman dan ilmu digunakan sepenuhnya. Biarpun terpaksa berhempas pulas lebih dua jam, misi memerangkap orang minyak berakhir dengan jaya.

Melegakan penduduk kampung, bukan hanya orang minyak yang masuk perangkap, gangguan sampingan oleh jin-jin lain turut tumpas. Kesudahan misi, 25 botol digunakan untuk memerangkap jin-jin terbabit, termasuklah jelmaan jin orang minyak yang menjadi ibu gangguan misteri di kampung tersebut.

Pengamal Perubatan Darul Muhsinin, Ustaz Othman Mohd Salleh ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia yakin makhluk dikaitkan dengan kehadiran orang minyak di kampung itu dapat diperangkap.

Menurutnya, lima jin utama yang berada sekitar kawasan kampung itu telah diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

“Orang minyak itu adalah jel­maan jin, jika pengamalnya menggunakan minyak maka jin atau khadamnya akan muncul dalam bentuk itu dan dengan kuasa ALLAH, saya yakin salah satu daripadanya jelmaaan makhluk yang dikatakan orang minyak itu dapat diperangkap ,” katanya.

Upacara pembersihan dengan doa dan ayat suci al-Quran dilakukan jam 11.30 malam semalam, di sebuah rumah dibantu seorang wanita yang menjadi pengantara.

Program bermula dengan soal jawab dilakukan Ustaz Othman melalui jin yang memasuki tubuh wanita sebelum satu persatu jin diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Perjalanan upacara terganggu seketika selepas jin-jin yang hadir terlalu banyak di dalam rumah itu menyebabkan dua lagi ustaz daripada Perubatan Syifa’ Al-Ikhlas dipanggil.

Kehadiran dua ustaz nyata membantu, apabila satu persatu jin yang dikatakan mula memenuhi segenap pelosok rumah berkenaan berjaya diperangkap.

Tepat jam 1.45 pagi upacara tersebut selesai dan terdapat 25 jin berjaya diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.


Friday, January 13, 2012

10 Gadget Popular Tahun 2011

Share

10 Gadget Popular Tahun 2011



1. Xperia Play, edisi terkini telefon pintar Sony Ericsson yang menggunakan sistem operasi Android dan dilengkapi kamera 5.0 megapiksel dan keunikan utamanya adalah pad kawalan permainannya yang boleh lungsur keluar dari bahagian belakang.

 



2. Acer mencuba nasib dengan teknologi terbaru yang ‘dua alam’, nak kata tablet pun tak, netbook pun tak dengan model Iconia Tab W500 yang menggunakan sistem operasi Microsoft Windows 7 dan lengkap memori RAM yang ditawarkan pada 2GB.




3. Telefon pintar Samsung Galaxy S II tampil lebih menarik - rekaannya senipis 8.49 milimeter, digabungkan dengan teknologi dual core yang tiada tandingannya ditambah sistem operasi Android 2.3 Gingerbread dan paparan bersaiz 4.27 inci berkuasakan AMOLED.





4. Blackberry tampil dengan model Bold 9900 menyokong OS BlackBerry 7 baru, mempunyai pelbagai perkakasan tambahan berkuasa termasuk pemproses 1.2 GHz, rakaman video HD, grafik resolusi tinggi 24-bit dan bersaiz nipis iaitu hanya 10.5mm.

 

  
5. HTC mencipta telefon baru iaitu EVO 3D yang memaparkan skrin 3D tanpa menggunakan kaca mata khas dibangunkan pada platform Android Gingerbread (2.3) dengan sistem skrin qHD 3D 4.3 inci.



6. Lenovo memperkenalkan tablet perniagaan berasaskan Android pertama di dunia bersaiz 10.1 inci iaitu ThinkPad Tablet yang membolehkan akses kepada 250,000 aplikasi dalam Android Market.


7. Acer menghasilkan ultrabook pertama di negara ini dengan kerjasama Intel yang mempunyai tahap kenipisan 13mm menerusi Aspire S3 menampilkan dua inovasi baru.


8. Samsung memperkenalkan Galaxy Note iaitu telefon bersaiz 5.3 inci yang mengejutkan membolehkan anda melukis sesuatu di atasnya menggunakan pen stylus yang ditawarkan bersama telefon ini.




9. Kamera Nikon D1500 adalah produk pertengahan yang boleh dimiliki jika anda peminat yang mahu bermain dengan fotografi tapi pada masa sama tidak mahu menggunakan ciri DLSR seperti kelajuan shutter, aperture secara manual.




10. Nokia N9 petunjuk positif kepada Nokia hingga sukar untuk melepaskannya yang nyata berbeza jika dibandingkan model terdahulu dengan skrin peka sentuhan.




Sumber: Hmetro


Wednesday, January 11, 2012

Samsung Galaxy Lesung Batu

Share

Samsung Galaxy Lesung Batu

JOHOR BAHRU: Seorang kakitangan swasta yang membeli tiga telefon bimbit dengan harga RM3,250 secara dalam talian terkejut apabila hanya menerima lesung batu berharga RM14.50, sehari selepas melunaskan pembayaran.

Lebih menyakitkan hati, tulisan RM14.50 berkenaan masih ada pada lesung batu berkenaan dan mangsa, Mohd Hazirul Hisham, 30, tergamam ketika menerimanya.

“Saya membuat pembelian itu selepas melayari satu laman web dan tertarik dengan tawaran telefon bimbit Samsung Galaxy S bernilai RM1,100 seunit berbanding harga pasaran semasa iaitu RM1,900.

“Saya membeli tiga telefon bimbit berkenaan secara talian pada 6 Disember lalu dan membuat bayaran ke akaun seorang lelaki bernama Lim Tham Kim,” katanya, semalam.

Menurut Hazirul, dia kemudian menerima SMS daripada kakitangan sebuah syarikat menjual peralatan komunikasi yang menawarkan barangan percuma atau diskaun RM50.

Hazirul memilih tawaran diskaun berkenaan dan sehari kemudian, dia menerima bungkusan barangan dibeli.

“Saya gembira kerana telefon bimbit berkenaan tiba tepat pada masanya, tetapi terkejut apabila mendapati kotak bungkusan berkenaan cuma mengandungi lesung batu.



“Saya menghubungi nombor telefon tertera seperti dalam SMS diterima sehari sebelum itu, tetapi individu terbabit enggan menjawab panggilan saya,” katanya.

Hazirul kemudian melakukan pemeriksaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mendapati syarikat terbabit tidak wujud.

“Saya yakin dengan pembelian menerusi dalam talian kerana pernah membeli beg tangan dan tidak timbul masalah seperti ini,” katanya yang membawa perkara terbabit ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TT PM).

Sementara itu, Presiden TTPM, Quaik Chong Yu menegaskan penuntut perlu memfailkan kes hanya terhadap satu pihak saja kerana pasti timbul masalah pada peringkat penguatkuasaan jika perintah dikeluarkan.

“Pihak penuntut perlu pilih satu pihak untuk failkan tuntutan kerana invois dikeluarkan syarikat manakala wang bayaran dimasukkan ke akaun peribadi Lim, mereka akan saling menolak,” katanya.

Hazirul bersetuju menggugurkan tuntutan ke atas syarikat berkenaan dan meneruskan tuntutan terhadap Lim atas alasan lelaki itu menerima wang terbabit.

Quaik mengarahkan Lim mengembalikan RM3,250 kepada Hazirul dalam tempoh 14 hari selepas perintah dikeluarkan manakala tuntutan terhadap syarikat digugurkan.

“Lesung tu pula boleh disimpan di rumah,” katanya.

Wakil pihak penentang iaitu Lim dan syarikat terbabit tidak hadir pada perbicaraan.

Sumber: HMetro

Tuesday, January 10, 2012

AJL 26 Senarai Lagu Yang Layak ke Final

Share
  
AJL 26 Senarai Lagu Yang Layak ke Final

AJL26 akan dibawakan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil bermula jam 9.00 - 11.30 malam pada 29 Januari 2012. 

Selain dari 12 lagu yang berentap, persembahan AJL 26 akan membuka tirai dengan kemunculan istimewa Awie, Jamal Abdillah dan Datuk Sheila Majid. 

Bagi segmen interlude bakal dipersembahkan oleh penyanyi yang mempunyai vokal tinggi dan nyaring iaitu Black, Azlan and The Typewriter dan Hazama.


Di bawah merupakan senarai lagu yang layak dan mengikut urutan persembahan pada malam tu nanti:


1. Wanita Seluruh Dunia - Project Pistol

2. Sedetik Lebih - Jaclyn Victor

3. Kekanda Adinda - Monoloque/Atilia

4. Penakut - Yuna

5. Kalau Berpacaran - Ana Raffali/Suhaimi Mior Hassan & Altimet

6. Cinta Muka Buku - Najwa Latif

7. Karma - Faizal Tahir

8. Kisah Hati - Alyah

9. Sungai Lui - Aizat

10. Gadis Semasa - Yuna

11. Awan Nano - Hafiz

12. Beribu Sesalan - Tiga Suara (Ning/Jac/Shila)

Sunday, January 8, 2012

Facebook Diserang Virus

Share

Facebook Diserang Virus

MENLO PARK - Sebanyak 45,000 akaun pengguna laman sosial, Facebook di Eropah telah diserang virus ramni sehingga menyebabkan mereka terpaksa menukar kata laluan secara serta-merta.

Sementara itu, agensi keselamatan siber, vendorSeculert melaporkan puluhan ribu akaun pengguna Facebook di Perancis dan Britain telah digodam pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan nama dan kata laluan mereka.

Ini kerana hasil siasatan mereka mendapati kebanyakan pengguna menggunakan kata laluan yang sama untuk perkhidmatan dalam talian lain dan ia telah menjadi antara sebab penjenayah mahu mendapatkan maklumat dengan mudah melalui serangan virus itu.

Jurucakap Facebook menyatakan pengguna boleh melindungi akaun dengan tidak menekan mana-mana pautan asing dan mencurigakan yang muncul secara tiba-tiba pada halaman mereka.
Petua saya:
1. Selalu tukar password Facebook. Pastikan password betul-betul kuat dan kukuh
2. Jangan klik link yang pelik-pelik dari orang yang kita tak kenal. Kalau link blog ni nak klik banyak kali pun tak pe.:-D
3. Pasang antivirus yang ada internet security sekali.
4. Selalu scan gunakan Malwarebytes Anti-malware ataupun Trojan Remover

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive