Tuesday, September 25, 2012

[Gambar] Tunang Diana Amir Bukan Seorang Ustaz

Share

[Gambar] Tunang Diana Amir Bukan Seorang Ustaz

Ehemm3. Alahai, bertuah la kawan aku sorang ni. Senyap-senyap je kawan pastu tunang ngan artis. Ingatkan ustaz mana la tunang Diana Amir tu. Rupanya my frenz Mohd Habib Bullah A. Rahman, sekarang lecturer UiTM Kedah. Dulu student Diploma Pentadbiran Awam UiTM Kedah dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran UiTM Shah Alam.

Satu kelas masa Diploma dengan Degree. Huhu. Senyap-senyap je dah tunang. Dengan artis pulak. Hoho. Pe2 pun tahniah la Habib & Diana Amir. Semoga cepat kahwin nanti. Lagi satu Habib bukan la Ustaz seperti yang banyak blog tulis tu.:-D.

Pelakon dan pengacara Diana Amir berkata keputusan merahsiakan majlis pertunangannya baru-baru ini adalah mengikut syariat Islam yang tidak mengesyorkannya untuk ia dihebohkan melainkan jika berkahwin.

Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 26, berkata, dia berharap semua pihak menghormati keputusan itu dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap dia dan tunangnya Mohd Habib Bullah A. Rahman iaitu seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.

“Dalam Islam sendiri tidak menggalakkan kita menghebohkan majlis bertunang atau fasa bercinta kerana ia adalah perjanjian awal antara pasangan kekasih.

“Lainlah kalau majlis perkahwinan, memang ia perlu dihebahkan untuk mengelakkan fitnah.

“Sebenarnya tada jaminan lagi saya pasti akan berkahwin dengan dia (Habib). Atas sebab itu, saya hanya adakan majlis secara tertutup untuk keluarga kedua-dua belah pihak sahaja,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Difahamkan, Habib yang berusia 20-an itu bertugas di Jabatan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Merbok dan sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana.

Mereka yang berkenalan menerusi seorang teman Diana kurang setahun yang lalu melangsungkan pertunangan di kediaman aktres itu di Petaling Jaya, pada baru-baru ini.

Pelakon filem Salam Cinta itu berkata, dia enggan mencanangkan mengenai hubungannya dengan Habib demi menghormati keselesaan tunangnya itu yang tidak biasa dengan selok-belok dunia hiburan.

“Saya kasihan kepada dia kerana latar belakang dan profesion dalam bidang pendidikan adalah bertentangan dengan dunia hiburan yang penuh kontroversi ini.

“Demi menghormati keselesaan dia dan keluarga, saya tidak mahu kecoh-kecoh mengenai majlis itu atau hubungan kami.

“Cukuplah mana yang sudah tahu, saya tidak menafikannya tapi tidak perlu saya hendak bercerita panjang lebar mengenai perkara ini,” luahnya.

Diana berkata, dia dan Habib masih belum membuat sebarang ketetapan mengenai perkahwinan kerana mereka mahu mengukuhkan kewangan dan kerjaya masing-masing terlebih dahulu.

“Pada peringkat ini, kami mahu lebih mengenali antara satu sama lain. Belum ada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat, biarlah kami kukuhkan kewangan dahulu,” jelasnya.

Mengenai kerjaya, Diana berkata, jadualnya kini terisi dengan komitmen sebagai penceramah motivasi untuk para pelajar di merata sekolah dan mengacarakan majlis-majlis korporat.

“Tumpuan sekarang adalah pada komitmen sebagai penceramah motivasi dan pengacara.

“Insya-Allah pada awal Oktober depan, saya akan terlibat dalam penggambaran sebuah telefilem untuk Astro Oasis,” kongsinya.

- MSTAR

Kredit to Rotikaya gambar kat atas tu. Gambar kat bawah ni pulak kredit kepada diri sendiri.:-D.

Gambar ni masa kitorang buat Karnival BaCas tahun 2010


Ni gambar Habib dengan lecturer UiTM Kedah masa dinner part 6 tahun 2008


Untuk pengetahuan semua Habib ada sorang kembar. Korang tengok kat bawah ni yang mana satu Habib yang mana satu adik dia no 19 dengan 26 tu? Ce teka. ^_^

Saturday, September 22, 2012

Hantaran Tinggi Punca Lelaki Banyak Hutang?

Share
 
Hantaran Tinggi Punca Lelaki Banyak Hutang?

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Amran (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun, tinggal di perumahan rumah pangsa di Vista Angkasa, Kuala Lumpur baru melangsungkan perkahwinan dengan isterinya kira-kira setahun lalu.

Namun begitu, hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi menyebabkan beliau kini berhutang hampir RM25,000 dan diburu oleh ‘Ah Long’.

“Saya tidak ada banyak pilihan,” jelas Amran seorang penyelia kilang di Petaling Jaya yang hanya memperoleh gaji RM1,500 sebulan.

“Tiap-tiap bulan saya terpaksa menghabiskan lebih dari separuh gaji saya hanya untuk membayar hutang.

“Puncanya, keluarga sebelah isteri saya meletakkan hantaran sebanyak RM12,000 kerana isteri saya seorang graduan diploma di universiti tempatan, dan termasuk belanja kahwin dan kenduri, semuanya berjumlah RM25,000.

“Jadi dengan pendapatan saya yang berjumlah RM1,500, dengan tolak bayaran sewa rumah dan ansuran kereta, saya tidak mampu untuk menanggung hutang sebegini,” kata Amran lagi.

Dalam adat perkahwinan Melayu - Islam di Malaysia, terdapat dua jenis hantaran iaitu mas kahwin dan hantaran perkahwinan.

Mas kahwin, juga dikenali sebagai ‘wang belanja tubuh’, telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam peringkat negeri, berbeza dengan hantaran perkahwinan.

Bayaran mas kahwin ini diwajibkan dalam agama Islam, manakala hantaran perkahwinan pula bersifat adat resam dan tidak ada kewajiban untuk membayarnya.

“Hantaran perkahwinan inilah yang membebankan orang ramai dari perkahwinan,” menurut Azri Mukhris, 27 tahun, seorang yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.

Kata Azri, beliau dan pasangannya terpaksa mengikat perut sejak tahun lalu bagi memastikan mereka dapat berkahwin sebelum hujung tahun ini.

Ini kerana tekanan masyarakat itu sendiri menyebabkan ahli keluarga terpaksa meletakkan harga sedemikian.

“Semasa upacara merisik, kami membincangkan tentang harga hantaran, memandangkan pasangan saya merupakan seorang graduan ijazah sains, maka harganya lebih tinggi.

“Jadi sebab itu, mahu tidak mahu, saya perlu menyimpan agar dapat menyempurnakan majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada hujung tahun ini,” kata Azri lagi.

Bila ditanya berapa harga hantaran perkahwinan, Azri enggan memberi jumlah keseluruhannya.

“Apabila berkahwin ni, banyak komitmen yang perlu diberikan, antaranya perlu membayar hutang membeli rumah, membeli kereta, kemudian pinjaman peribadi untuk melangsungkan perkahwinan, dan beberapa tahun lagi apabila sudah mempunyai anak, kena membeli persiapan untuk kelahiran anak pula.

“Belum lagi apabila anak itu sudah membesar dan sudah mula bersekolah,” kata Azri lagi.

Masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi dikenal pasti sebagai punca utama kes perceraian pasangan muda di ibu kota.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, berkata kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan.

Biasanya pasangan terbabit adalah mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru.

Mereka khususnya suami tidak bersedia dalam aspek kewangan, lebih-lebih lagi sara hidup yang tinggi di ibu kota berbanding pendapatan yang mereka peroleh.

Menurut kenyataannya kepada Berita Harian hari ini, bilangan kes perceraian di ibu kota yang direkodkan JAWI turun secara mendadak apabila sehingga Julai tahun ini hanya membabitkan 64 kes berbanding 1,828 kes sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di ibu kota setiap tahun dianggarkan 20,000 orang dengan kira-kira 10,000 orang adalah golongan muda.

Tujuh tahun pertama usia perkahwinan adalah tempoh paling kritikal kerana hampir 28 peratus perceraian berlaku dalam jangka waktu berkenaan.

Kebanyakan kes perceraian dalam tempoh itu pula membabitkan pasangan muda berumur bawah 30 tahun ke bawah,” katanya.

Statistik dalam laman web Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat mencatatkan penceraian pada tahun 2011 telah menurun iaitu 27,355 kes berbanding tahun 2010 iaitu 28,035 kes.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, kadar itu masih membimbangkan biarpun penurunan sebanyak 2.5 peratus.

Dr. Mashitah berkata, Selangor mencatatkan jumlah perceraian paling tinggi iaitu sebanyak (4,409 kes), diikuti Johor (3,021 kes) dan Kelantan (2,429 kes).

Hadzrien (bukan nama sebenar), 26 tahun, bercerai dengan isterinya yang tiga tahun lebih muda berkata, masalah kewangan adalah punca perceraian dia dan isterinya.

“Saya telah berkahwin dengan bekas isteri saya setahun yang lalu, tetapi oleh kerana belanja perkahwinan yang tinggi, disamping masalah kewangan serta pinjaman bank terlalu tinggi menyebabkan saya terpaksa bercerai dengannya.

“Saya telah cuba berjimat cermat, tetapi tuntutan kehidupan di kota yang mahu perbelanjaan yang tinggi menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung isteri saya lagi, lalu kami membuat keputusan untuk bercerai,” kata Hadzrien lagi.

Katanya, pinjamannya yang berjumlah hampir RM20,000 itu terlalu sukar untuk dibayar, hinggakan dia terpaksa menjual kereta Proton Satrianya.

“Walaupun sudah bercerai, namun beban untuk membayar hutang bank akibat wang hantaran tinggi dahulu masih lagi perlu saya bayar.

“Perkahwinan sepatutnya menjadi masa yang terindah, tetapi kerana pinjaman serta kadar bunga tinggi, kerana hantaran perkahwinan yang tinggi menyebabkan ia menjadi azab dalam hidup saya,” kata Hadzrien lagi.


Sumber 

 

Thursday, September 13, 2012

50 Tips Membina Keluarga Bahagia

Share

50 Tips Membina Keluarga Bahagia
 
Semua pasangan yang berkahwin mengidamkan untuk mendapatkan keluarga yang bahagia namun bukan semua mampu untuk mengecapinya.

Dibawah merupakan 50 tips untuk membina keluarga yang bahagia dari Dr Fadzilah Kamsah.

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik.
Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup.
Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri.
Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat.

Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari.
Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri.
Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra.
Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja.
Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari.
Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala..
Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin.
Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

12. Bantu isteri melakukan kerja rumah.
Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria.
Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri.

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah.
Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami.
Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri.
Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri.
Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri.
Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri.

20. Bentuk sifat cemburu yang positif.
Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf.
Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang.
Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model.
Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain.
Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain.
Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati.
Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia,penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif.
Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga.
Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka. Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi.
Orang yang matang tenang, sabar, waras,bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya.
Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami.
Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka, endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32. Mahir dalam menguruskan keluarga.
Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. Membaiki diri secara berterusan.
Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar, memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga.
Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga?

35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga.
Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36. Tingkatkan ilmu berkenaan agama.
Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlah ilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37. Sentiasa menegakkan kebenaran.
Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi.
Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39. Latih diri memuji dan menghargai isteri.
Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri.
Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami.
Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri.
Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43. Nilai diri daripada kaca mata isteri.
Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia.
Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia.
Patuhi cadangan, pandangan dan pendapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46. Buat undang-undang dalam rumah tangga.
Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah, suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri.
Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang.
Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49. Seimbangkan hidup dengan sempurna.
Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri.

50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas.
Lakukan riadah, berdiet, hentikan merokok, bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

Wednesday, September 12, 2012

Gambaran Rupa Paras Rasulullah S.A.W

Share

Gambaran Rupa Paras Rasulullah S.A.W

Gambaran mengenai rupa paras Rasulullah s.a.w amat kurang kita kenali kerana baginda s.a.w amat melarang keras gambarnya sendiri dilukis atau diukir kerana dikhuatiri akan disalah gunakan atau disembah oleh pengikutnya (seperti apa yang dikisahkan mengenai Nabi Idris a.s dan Nabi Isa a.s) ataupun dijadikan bahan hinaan oleh kaum Kuffar (seperti yang dibuat oleh Akhbar Denmark Jylland Posten lama dahulu).

Apa yang boleh kita gambarkan mengenai rupa paras Rasulullah s.a.w hanyalah melalui kenyataan-kenyataan para sahabat di kala hidup baginda seperti Sayyidina Ali, Abu Taufial, Hindun Abu Hala’ dan lain-lain. Kenyataan-kenyataan ini bolehlah dirumuskan seperti di bawah ini:-

Wajah

1) Wajahnya bersinar seperti bulan (Hindun Abu Hala)

2) Wajahnya tidak begitu bulat tetapi cenderung kepada bulat (Sayyidina Ali)

Dahi

1) Dahinya luas, rawan, keningnya tebal, terpisah di tengahnya, urat darahnya kelihatan di antara kedua-dua belah kening itu dan nampak semakin jelas ketika sedang marah. (Hindun Abu Hala)

Warna Kulit

1) Putih kemerah-merahan. (Sayyidina Ali)

2) Putih tetapi sihat. (AbuTaufial)

3) Putih dan bercahaya. (Hindun Abu Hala)

Mata

1) Hitam dengan bulu mata yang panjang. (Sayyidina Ali)

2) Hitam dan layu. Tabiat memandang dari sudut matanya seolah-olah malu. (Hindun Abu Hala)

3) Garis-garis merah di bahagian putih matanya, luas kelopaknya, kebiruan di bahagian sudut

Hidung

1) Agak tinggi, bercahaya, penuh misteri, kelihatan luas apabila kali pertama memandangnya. (Hindon Abu Hala)

Mulut

1) Luas. (Abu Jabir)

2) Sederhana luas. (Hindun Abu Hala)

Gigi

1) Kecil dan bercahaya, indah kelihatan tersusun renggan di bahagian hadapan. (Sayyidina Abas)

2) Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari celah-celah giginya. (Anas)

Janggut

1) Penuh dan tebal (Hindun Abu Hala)

Leher

1) Kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca, warna lehernya putih seperti perak dan sangat indah. (Hindun Abu Hala)


Kepala

1) Besar tetapi sangat baik bentuknya. (Hindun Abu Hala)

Rambut

1) Tidak terlalu lurus dan tidak kerinting seperti biri-biri. (Qatadah)

2) Sedikit ikal. (Anas)

3) Tebal, kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu. (Bara’ ibn. Azib)

Perut dan betis

1) Tidak lembut tetapi cantik. Kakinya berisi, di tapak kekinya terdapat sedikit lekuk dan kakinya terlalu licin sehingga air tidak melekat padanya. Terlalu sedikit daging di bahagian tumitnya. (Jabir Samra’)

Lengan dan tangan

1) Pergelangan tangannya besar, lebar tapak tangannya, jari jemarinya juga besar tersusun dengan cantik. (Hindun Abu Hala)

2) “Aku tidak menyentuh sebarang sutera yang nipis mahupun tebal yang lebih lembut dari telapak tangan Rasulullah” (Anas)

Bahu dan dada

1) Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang diantara kedua bahunya adalah lebih dari biasa. (Hindun Abu Hala)

2) Seimbang di antara kedua bahunya. (Sayyidina Ali)

Bayang-bayang Rasulullah.

1) Rasulullah s.a.w tidak mempunyai bayang-bayang seperti mana manusia biasa, meskipun di bawah sinaran rembulan dan matahari.

2) Hal ini disahkan oleh Ibnu Sabu’, Ibnu Abbas dan Zakwan.

3) Tujuan Allah memuliakan baginda dengan mukjizat sedemikian ialah kerana mengelakkan bayang-bayang Rasulullah s.a.w dipijak oleh kaum kuffar sebagai tanda penghinaan.

4) HARAM dan boleh menjadi kufur jika memijak dengan sengaja, bekas-bekas peninggalan Rasulullah saw seperti bekas telapak kaki baginda dan seumpamanya.

Rasulullah s.a.w tidak pernah dihinggapi lalat dan kutu.

1) Inilah salah satu dari keistimewaan baginda sebagai Rasul dan Kekasih Allah.

2) Ini menunjukkan beliau adalah bersih dan suci meskipun janggut Baginda s.a.w tebal dan panjang kerana manusia yang dihinggapi lalat dan kutu adalah pengotor.

3) Hal ini diakui oleh Qadhi Iyadh dan Ibnu Sabu’.

Rasulullah s.a.w tidak pernah mimpi ihtilam (mimpi berjunub).

1) Hal ini diakui oleh At-Thabrani dari jalan Ikrimah, daripada Anas, Ibnu Abbas dan Danuri dari jalan Mujahid, daripada Ibnu Abbas, beliau ada berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak pernah berihtilam (mimpi junub) kerana ianya adalah dari syaitan.”

Rasulullah s.a.w tidak pernah menguap.

1) Hal ini diakui oleh para ulama seperti Imam Bukhari, Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Saad dari Zaid ibn. Al-Asam yang berkata:-

“Rasulullah s.a.w tidak pernah menguap.”


Rasulullah s.a.w dilahirkan dalam keadaan berkhatan.

1) Hal ini disepakati para ulama seperti Ibun Habib, Al-Jauzi dan lain-lain dan inilah pendapat yang rajih.

2) Ada juga yang menafikan pendapat tersebut seperti Ibun Qayyim dengan mengatakan Baginda s.a.w dikhatankan oleh nendanya pada usia 7 Tahun.

3) Terdapat 17 orang Nabi Yang dilahirkan dalam berkhatan antaranya Rasululllah s.a.w.

4) Rasulullah s.a.w boleh melihat dari belakang sepertimana baginda melihat dari hadapan.

1) Baginda s.a.w juga boleh melihat di dalam gelap dan didalam keadaan yang orang lain tidak boleh melihat.

2) Hal ini diperakui olah Ibnu. Adi, Al-Baihaqi dan Ibnu Asakir dari Sayyiditina Aisyah r.an

“Rasulullah s.a.w boleh melihat dalam gelap sepertimana dalam keadaan terang.”

3) Terdapat juga Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Wahai sekalian manusia. Sesungguhnya aku adalah imam kamu, maka janganlah kamu mendahului rukuk dan sujud daripadaku. Sesungguhnya aku melihat dari depan dan belakangku.

Apa yang keluar dari tubuh Baginda s.a.w seperti kencing, darah dan sebagainya adalah suci.

1) Para ulama menghukumkannya suci berdasarkan pendapat Al-hafiz ibnu Hajar yang mengatakan rahsia keistimewaan ini disebabkan oleh dada baginda s.a.w telah dibasuh oleh 2 malaikat sehingga segala lebihan (kumuhan) dari jasad Nabi s.a.w dihukumkan suci.

2) Hal ini juga telah dibahaskan oleh Al-faqih Al-Alammah Syeikh Mansur ibnu Yunus al-Bahuti (guru kepada Dr. Sayyid Ibnu Alawi Al-Maliki) dalam kitabnya Kasyaf al-Qina dengan memetik beberapa pendapat para tabien dan para sahabat. Seperti Ibnu Hibban, Ibnu Juraih, Darul Qutni dan sebagainya.

3) Terdapat kisah, sahabat yang meminum darah bekaman baginda seperti seorang hamba yang membekam Rasulullah s.a.w. Begitu juga Ummu Aiman ( salah seorang dari ibu susuan Nabi s.a.w) yang meminum kencing baginda s.a.w.

4) Hukum berubat dengan darah dan kencing Baginda adalah harus.

STRUKTUR UMUM

1) Sempurna binaan badannya, tulang temulangnya yang menyambungkan anggota-anggotanya besar dan kukuh. (Hindun Abu Hala)

2) Badannya tidak gemuk. (Sayyidina Ali)

3) Tidak tinggi dan rendah, kecil tetapi berukuran sederhana. (Anas)

4) Cenderung kepada tinggi, ditengah ramai, ia kelihatan lebih tinggi dari orang lain. (Bara’ ibn Azib)

5) Perutnya tidak buncit.

6) Sekalipun baginda lapar dan miskin, tetapi tubuhnya lebih gagah dan sihat berbanding orang lain yang cukup makan. (Al-Muwahib)

7) “Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih gagah daripada Rasulullah”. (Ibnu Umar)

Begitulah kenyataan-kenyataan berdasarkan penelitian para sahabat ketika hidup baginda mengenai gambaran rupa paras Rasulullah s.a.w yang menjelaskan kecantikan dan kehebatan baginda.

Wallahu a’lam.

Dipetik dari:
“Artikel untuk Nadi Dakwah, Majalah Al-Irsyad
Maahad Johor 1999-2000- kiriman Zulkifli b. Ishak,
3 Alusi”

Dan diolah dari Buku Syamailil Muhammadiyyah terjemahan Syeikh Fuad Al-Rembawi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive