Wednesday, November 13, 2013

Home » » Peluang Beli Rumah Murah

Peluang Beli Rumah Murah

Share


Peluang Beli Rumah Murah

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Satu skim pembiayaan baharu dengan kadar bayaran bulanan jauh lebih rendah akan diperkenalkan kerajaan bagi membantu individu yang gagal memperoleh pinjaman bagi memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Melalui skim baharu itu, pembeli PR1MA mungkin hanya akan membayar antara RM400 dan RM500 sebulan untuk sebuah rumah berharga RM200,000.

Kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding pinjaman bank komersial yang biasanya sekitar RM1,800 sebulan bagi membiayai pinjaman sebanyak itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kemudahan mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan untuk individu terbabit turut disediakan di bawah skim tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pengumuman rasmi mengenai pelaksanaan skim itu nanti akan diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat, selepas perincian pelaksanaannya dibawa ke pengetahuan Kabinet minggu ini.

"Saya akan bentangkan skim ini di mesyuarat Kabinet minggu ini sebelum Perdana Menteri mengumumkannya secara rasmi.

"Skim ini bakal menawarkan bayaran pinjaman bulanan yang cukup rendah berbanding ditetapkan institusi kewangan tempatan," katanya ketika pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, skim berkenaan akan membabitkan tiga peringkat pembiayaan bermula RM200,000, RM300,000 dan RM400,000.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 44,223 unit rumah PR1MA akan mula dibina tahun ini di seluruh negara.

Katanya, projek berkenaan akan dibina di 10 buah negeri bermula di Negeri Sembilan dengan 6,174 unit rumah.

"Walaupun kita menyasarkan membina 80,000 unit rumah setiap tahun, namun tahun ini mengalami sedikit kekangan disebabkan PR1MA ini hanya mula dilaksana bermula Jun lalu iaitu selepas Akta PR1MA diluluskan Parlimen Januari lepas.

"Memang sukar menyiapkan semua unit PR1MA (80,000 unit) seperti disasarkan dengan baki hanya dua bulan lagi, tapi yang penting, pembinaannya akan kita mulakan tahun ini juga," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kawasan atau tapak bagi projek PR1MA termasuk kerjasama dengan swasta dan pemilik tanah persendirian.


0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Singgah je???Komen la sikit.:-D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive