Wednesday, November 27, 2013

Gangguan Langsuir di Terengganu

Share


Gangguan Langsuir di Terengganu

PASIR PUTEH - Cerita langsuir mengganggu penduduk yang sebelum ini hanya diketahui penduduk di beberapa kampung di sini dan Jerteh, Terengganu akhir-akhir ini menjadi perbualan hangat apabila isu itu tersebar melalui laman sosial.

Cerita itu menarik perhatian penduduk dari luar kawasan yang memasuki kampung terlibat seperti Kampung Gong Tinggi, Gong Pasir, Kampung Tasek, Gong Lapang (Pasir Puteh) dan Kampung Penaga Putar (Jerteh) secara berkumpulan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada penduduk mengakui terserempak dengan lembaga berambut panjang yang berterbangan sambil mengilai dengan suara mengerikan tapi ada sesetengah penduduk menafikannya.


Rujuk mereka yang layak 

Pegawai Agama Jajahan, Ahmad Talhah Ab Rahman berkata, beliau tidak jelas mengenai perkara itu kerana hanya mengetahui cerita mengenai langsuir itu melalui Facebook.

“Susah nak cakap sebenarnya. Tak nak percaya tak boleh juga kerana kita kena ingat Islam juga mengajar umatnya mempercayai perkara ghaib seperti wujudnya jin dan syaitan.

“Cuma jangan kita panik dan terlalu takut kerana ia boleh menjejaskan iman. Kena sama-sama jaga akidah dengan sentiasa merujuk kepada pakar atau orang yang layak membicarakannya,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada mendengar cerita mengenai bomoh yang berjaya ‘menangkap hantu’ namun katanya, perlu berhati-hati kerana jin juga mungkin menipu dengan berpura- pura terperangkap.

Ahmad Talhah berkata, sekali pun langsuir didakwa penduduk itu betul, makhluk itu tidak memudaratkan kerana ia mungkin jin yang mahu mengganggu manusia.


Suara mengerikan

Penduduk Kampung Penaga Putar, Tuan Muda Tuan Mat, 48, berkata, dia melihat kelibat lembaga yang berterbangan sambil mengilai panjang ketika pulang ke rumah dengan menunggang motosikal jam 12 tengah malam, minggu lalu.

Katanya, walaupun tidak nampak dengan jelas ketika dia memberhentikan motosikal, suara lembaga itu menyebabkan bulu romanya meremang dan memaksanya bergegas pulang.

Perasaan takut datang lagi ketika saya tersedar dari tidur pada malam itu. Sebelum ini saya ada dengar orang kampung cerita pasal langsuir tetapi saya tidak percaya sehinggalah saya berdepan dengannya.

"Saya pernah beberapa kali terserempak dengan hantu. Suara langsuir menyeramkan tapi saya tak endahkan,’ katanya.


Sudah dipasung

Seorang bomoh dari Kampung Gong Manak, Ramli Yusof, 41, ketika ditemui mendakwa telah menangkap kesemua empat langsuir yang mengganggu penduduk iaitu dua di Gong Pasir, satu di Gong Tinggi dan satu di Gong Lapang.

Katanya, lembaga dengan ketinggian paras pinggangnya itu ditangkap dengan bantuan seorang rakan tidak sampai 10 minit dengan menggunakan ayat al-Quran.

“Saya ‘memasungkannya’ di satu tempat khusus dan akan ‘menghantarnya balik ke tempat asal’ selepas 40 hari ditangkap. Saya tidak tahu dari mana ia datang kerana inilah kali pertama saya menangkap langsuir.

“Sebelum menangkap, saya membaca jampi di rumah dan ketika itu, penduduk memberitahu terdengar langsuir berteriak seperti kesakitan, bukan lagi mengilai,” katanya yang terlibat dengan aktiviti seperti itu sejak empat tahun lalu.

Majlis Perkahwinan Rozita Che Wan dan Zain RM13 Juta

Share

Majlis Perkahwinan Rozita Che Wan dan Zain RM13 Juta

SHAH ALAM – Majlis perkahwinan pelakon Rozita Che Wan bersama pasangannya pelakon sensasi, Mohamad Zain Mohd. Saidin bulan depan mencatat sejarah tersendiri dalam dunia hiburan tempatan apabila ia mendapat tajaan berjumlah RM13 juta.

Rozita atau lebih sinonim dengan panggilan manja Che Ta, 40, bakal melangsungkan perkahwinan paling mahal dalam sejarah tanah air yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini pada 11 Disember depan.
Beliau berkata, syarikat barangan kemas terkenal Habib Jewels merupakan penaja utama apabila sanggup menaja set barangan kemas berjumlah RM10 juta untuk perkahwinan tersebut.
Katanya, barangan kemas Habib Jewels itu akan diperagakan semasa majlis berinai, akad nikah dan resepsi.

Penajaan lain bernilai RM3 juta adalah daripada 27 pihak lain yang sudi memeriahkan perkahwinan pasangan tersebut.
“Majlis perkahwinan kami ini bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya setiap tajaan yang kami perolehi ini merupakan satu rezeki.
“Kami memang tidak menyangka apabila ramai pihak sudi untuk menjadi penaja.
“Pada awalnya kami cuma merancang untuk mengadakan majlis yang ringkas, misalnya upacara akad nikah pun sudah memadai.
“Mungkin dengan pelbagai tajaan yang diterima ini membuatkan majlis ini kelihatan besar dan meriah,” katanya pada sidang akhbar di SCCC semalam.

Sumber

Tuesday, November 26, 2013

Misteri Penunggu Gunung Jerai

Share



Misteri Penunggu Gunung Jerai

Hampir jam 8.00 malam, dua orang gadis terus berkeliaran di sekitar puncak gunung jerai. Mereka tercari-cari seseorang. Di puncak gunung itu, kedua-dua gadis ini telah bertemu dengan seorang lelaki bernama Ramli bin Haji Khamis, 48. Dia bekerja dengan sebuah organisasi yang terletak di puncak gunung itu. Sudah hampir 20 tahun beliau bekerja di situ.

”Abang, kami nak bermalam di sini, di Padang Tok Sheikh, boleh tak ? ” Tanya salah seorang daripada mereka. Namanya Rasidah. Kawasan padang yang ditanyakan oleh gadis itu adalah sebuah tempat lapang di puncak gunung itu. Ia dipanggil Padang Tok Sheikh.

En.Ramli bingung. Biasanya orang yang hendak berkhemah atau berkelah di situ memang akan bertanya dan meminta kebenaran daripada beliau terlebih dahulu. Boleh atau tidak, beliau yang akan putuskan.

Tapi kali ini beliau terpaksa menegah kerana sungguh tidak molek anak gadis bermalam di situ. Lalu beliau menyuruh kedua-dua gadis yang bertelekung ini pulang sahaja. Namun gadis-gadis itu enggan. ” Tolonglah bang, malam ni aja. Lepas ni, kami takkan datang lagi,” pinta Rasidah lagi.

En.Ramli tidak mahu berganjak daripada keputusannya. Berulang kali difikirkannya, apa gadis-gadis ini tidak takut dengan gunung ini ? Gunung ini ‘bernyawa’. Ia banyak menyimpan cerita misterinya yang tersendiri.

Orang-orang di Gurun, Kedah, semuanya tahu puncak gunung itu adalah perkampungan bunian. Di puncak itu ada sebuah kerajaan besar. Ada istana dan pemerintahnya. Juga, ada kampung-kampung dan rakyat jelatanya.

Jadi, tidak perlu gadis-gadis tersebut bermalam di puncak gunung itu. Bahaya! Nanti disorok orang bunian. Tetapi berulang kali beliau menghalang, ada-ada saja alasan yang diterimanya.

”Kami dah janji dengan tok wan. Tok wan nak datang malam ni. Bolehlah, bang…” rayu Rasidah, tinggi suaranya.

Tok wan mana pula, fakir En.Ramli. Ada sesuatu yang tidak kena ! Segera beliau amati wajah kedua-dua gadis yang bertelekung ini. Air muka mereka berdua manis dan berseri. Berumur sekitar awal 20-an. Salah seorang daripada mereka senyap sahaja, hanya Rasidah yang bersuara. Pada pandangan Ramli, gadis-gadis ini bukan jelmaan makhluk halus. Bukan… mereka bukan orang bunian !

”Tolonglah, bang. Puteri dah mimpi semalam ! Tok wan nak datang malam ni. Puteri dah janji dengan tok wan,” kata Rasidah lagi.

Puteri ? Siapa puteri ? Fikiran beliau semakin bercelaru. Siapakah gadis-gadis ini sebenarnya ? Mengapa lain benar percakapan mereka ?

Lalu beliau cuba menakut-nakutkan mereka. En.Ramli katakan yang hutan itu penuh dengan binatang buas. Di sekitar gunung itu sudah ramai orang yang hilang nyawa diserang gajah meroyan, harimau, atau dipatuk ular, kala jengking, bisa lipan bara dan binatang-binatang buas yang lain.

”Tak mengapa, bang. Tok wan ada, tok wan boleh halau binatang-binatang tu. Puteri pun ada !” jawab Rasidah. Ah! En.Ramli semakin terasa aneh dengan percakapan gadis ini. Siapa tok wan itu ? Siapa pula puteri itu ?

Tiba-tiba, ada suara aneh hinggap ke telinga En.Ramli. Seakan ada orang meniup-niup telinganya dan berulang kali suara itu menyebut Puteri Delima. ”Puteri Delima. Puteri Delimaaaa !! ” beliau terpaku. Siapa yang bercakap ? Darahnya mula berderau. Puteri Delima mana pula yang hendak datang, fikirnya berulang.

”Sayalah Puteri Delima !” kata gadis yang duduk di sebelah Rasidah. Gadis yang senyap sahaja dari tadi itu mulai bersuara. Matanya berkilat. Kemudian dia tersenyum lebar dan ketawa terkekek-kekek. ”Ehh… ehheeee…! Ehh… ehheeee… ! Saya nak jumpa tok wan ! Saya nak jumpa tok waaaaaan!!!! ” kata gadis itu yang tidak putus-putus tersenyum dan memandang Ramli.

En.Ramli tergamam. Terus dia benarkan gadis-gadis itu pergi ke Padang Tok Sheikh kerana gadis-gadis ini bukan manusia biasa lagi. Mereka sudah dirasuk bunian, beliau terpaksa tunaikan saja permintaan mereka.




Esoknya En.Ramli diberitahu rakan-rakannya, kedua-dua gadis tersebut ada berjumpa dengan orang-orang yang bekerja di sekitar gunung itu. Malam itu juga gadis-gadis tersebut telah dapat berjumpa dengan tok wan yang dimaksudkannya. Dakwa kawan-kawan beliau, tok wan itu seorang lelaki tua dan beserban hijau. Mereka berjumpa di Padang Tok Sheikh. Peristiwa ini baru berlaku dua tiga tahun lepas.

Pada pengalaman En.Ramli, apa yang mereka lihat itu adalah kelibat orang-orang bunian. Kawasan padang itu adalah salah satu daripada penempatan orang-orang bunian tersebut. Hutan rimba di sekeliling padang dan kawasan air terjun berdekatan juga adalah daerah kerajaan bunian.

Dahulu ada sekumpulan anak muda yang ternampak istana bunian di tepi air terjun di situ. Mujur mereka cepat-cepat beredar. Kalau mereka masuk ke kawasan istana itu, mungkin mereka semua akan hilang dibawa ke alam ghaib.

Orang-orang bunian ini memang sungguh menawan paras rupa mereka. Yang perempuan cantik, yang lelaki pula kacak. Ada para pemuda dan pemudi yang mudah benar jatuh cinta apabila melihat makhluk-makhluk halus ini.

Mereka mengekori pemuda dan pemudi bunian itu ke dalam hutan dan akhirnya, ramai yang telah tersesat. Malah ada yang terus hilang di hutan rimba gunung itu, sampailah sekarang tidak ditemui.

En.Ramli sendiri selalu terlihat orang bunian yang masuk ke dalam surau di puncak gunung itu. Di ketika yang lain, Ramli ternampak seorang lelaki tua bunian yang berserban mengambil air sembahyang di perigi yang ada di situ.

Sebenarnya En.Ramli sudah banyak melalui pengalaman dahsyat yang dikatakan angkara makhluk-makhluk halus. Pada awal tahun 2000, ada seorang lelaki berusia pertengahan umur 20-an telah hilang di gunung itu. Jadi, beliau diminta untuk membantu usaha polis mencari pemuda tersebut kerana dia cukup arif tentang kawasan pergunungan itu.

”Kita cari di sekitar air terjun dulu. Kalau tak jumpa juga, kita redah hutan ni,”kata En.Ramli pada polis-polis tersebut. Tetapi sudah hampir tiga hari, usaha mencarinya masih tidak membuahkan hasil. Tetap buntu. Sehinggalah pihak polis terpaksa menggunakan anjing pengesan untuk mencarinya.

Akhirnya, pemuda itu berjaya juga ditemui setelah hampir seminggu dicari. Pemuda itu dijumpai di sekitar kawasan hutan yang tidak jauh dari kawasan air terjun tadi.

Malang sekali, pemuda itu sudah tidak bernyawa lagi. Mayatnya ditemui dalam keadaan sungguh mengerunkan. Kepalanya putus. Dia seakan diserang oleh gergasi. Badannya berlumuran darah dan penuh luka. Cebisan pakaiannya yang koyak rabak bersepah-sepah diserata tempat. Apa sebenarnya yang telah terjadi ?

En.Ramli yakin ini bukan angkara binatang buas. Itu angkara bunian kerana sebelumnya mereka sudah pun mencari di serata puncak gunung itu, pemuda tersebut gagal ditemui. Tetapi mengapa beberapa hari kemudian tiba-tiba sahaja mayatnya dijumpai berhampiran dengan air terjun itu ? Mesti ada sebab yang lain.

En.Ramli percaya pemuda itu dibunuh dan disorok bunian. Lagipun, kawasan air terjun itu dan hutan- hutan di sekitarnya adalah tempat letaknya perkampungan bunian. Air terjun itu dipanggil tasik lima beradik kerana ia adalah tempat lima orang puteri bunian bermandi-manda. Puteri-puteri itu diceritakan terlalu cantik, tiada tandingan berbanding kecantikan manusia. Sambil mandi, mereka ketawa beramai-ramai.

Beliau juga selalu mengingatkan para pengunjung, andainya mereka melihat lima puteri yang jelita itu, janganlah sesekali tergoda. Apatah lagi cuba-cuba menyimpan hajat mendekati mereka. Sesiapa yang terpedaya, nescaya akan lenyap ke alam bunian, kemudian hilang dari alam nyata.

Di pinggir air terjun pula, kata En.Ramli, terletaknya istana bunian. Istana itu tersergam indah. Di sekelilingnya terdapat perkampungan bunian. En.Ramli memberi amaran kepada pengunjung, jangan dekati istana dan perkampungan itu. Silap langkah mereka akan di bawa masuk ke alam bunian dan terus lenyap.

Ramli percaya, pemuda yang mati itu telah termasuk ke alam bunian tersebut. Walaupun kematian pemuda itu disahkan akibat serangan binatang buas, tapi Ramli kurang setuju. “Ini kerja bunian,” berkali-kali dikatakan begitu.

Oleh kerana itulah En.Ramli selalu mengingatkan para pengunjung supaya jangan cakap besar, takbur dan riak. Kalau tidak, nanti dapat kecelakaan. Tambah lagi buat perkara-perkara yang tidak elok, bala mungkin akan menimpa.

”kalau ada apa-apa perkara yang pelik berlaku, jangan tegur. Lebih baik, diam ! Kalau ternampak benda-benda yang ganjil, tinggalkan. Ini kampung bunian ” pesan En.Ramli.

Gunung itu sering ‘mengambil nyawa’ manusia yang berniat tidak baik. Mungkin ada benarnya ia angkara binatang buas, tapi bagi En.Ramli, mungkin juga disebabkan orang bunian. Sama juga dengan kebanyakkan kejadian orang mati lemas di kawasan air terjun di kaki gunung itu. En.Ramli percaya semua itu angkara bunian.

Nama gunung itu, Gunung Jerai. Orang-orang di Gurun, Kedah sentiasa berhati-hati apabila ke sana. Kalau ada orang luar yang mahu ke gunung itu dan berjumpa En.Ramli, dia akan berpesan, ”hati-hati. Jangan main-main dengan pengunggu Gunung Jerai ini. Tempat ini keras ! ”

Monday, November 25, 2013

Roller Coaster Tertinggi Dunia Dibina

Share

Roller Coaster Tertinggi Dunia Dibina

MIAMI - Sebuah syarikat merancang untuk membina sebuah roller-coaster yang paling tinggi di dunia di Florida, lapor portal berita News Channel 5 kelmarin.
Syarikat US Thrill Rides LLC mahu membina roller-coaster itu dengan ketinggian 198.12 meter yang mempunyai dek pemandangan.
Bagaimanapun, pihak syarikat tersebut tidak memberitahu lokasi sebenar di Florida yang akan menempatkan roller-coaster itu.
Ia dijadualkan siap pada tahun 2016.
Ketika ini, roller-coaster yang tertinggi di dunia terdapat di New Jersey, AS dengan ketinggian 138.98 meter.
Terdapat dua buah restoran dan kedai di menara roller-coaster baharu itu.
Kos untuk membina roller-coaster itu dianggarkan sebanyak AS$20 juta (RM64.24 juta) hingga AS$60 juta (RM192.72 juta). - Agensi

Friday, November 22, 2013

Kisah Benar: 20 Tahun Dirogol Jin

Share


Kisah Benar: 20 Tahun Dirogol Jin

Gangguan jin saka adalah perkara yang boleh dikatakan kerap juga berlaku dalam sesetengah keluarga masyarakat Melayu. Ia adalah keadaan bila mana seseorang itu dihuni tubuhnya atau didampingi oleh jin (berbagai jenis) sama ada dia sendiri mahukan perkara itu atau dia terperangkap (oleh perbuatan oranglain), atau atas faktor keturunan.

Seorang guru wanita yang telah berkahwin lebih 3 tahun (tapi belum dapat anak) kini sedang diganggu saka dan masih dalam peringkat berubat. Punca saka itu adalah dari bapa mertuanya (kini sudah meninggal).

Khabarnya semua adik-beradik suaminya juga diganggu oleh saka tersebut. Gangguan itu agak menyukarkan juga. Petik suiz lampu tidak menyala, terdengar bunyi seakan anak kucing mengiau, bunyi seperti orang main guli, bunyi kerusi ditarik, bunyi mencakar-cakar, termasuklah rumah berdentum dan bergegar.

Hal itu menyeramkan bulu roma hinggakan guru wanita itu tidak berani balik ke rumahnya sekembali dari kerja. Dia duduk di masjid sementara menunggu suaminya pula pulang dari kerja (suaminya kerja hingga jam 10 malam).

Di waktu malam pula, walaupun suaminya ada di sisinya, dia tetap diganggu dengan berbagai bunyi hingga sukar untuk tidur. Saya dan adik beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling’

“SAYA menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa seseorang itu sanggup ‘mengorbankan’ keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan Islam.”

Begitulah luahan seorang wanita selepas membaca rencana mengenai angkara Saka yang disiarkan dalam Dimensi, tiga minggu lalu. Wanita yang hanya mahu menggelar dirinya Alia, menghantar emel untuk berkongsi pengalamannya lebih 20 tahun dihantui Saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya. Berikutan itu, Alia menetap di luar negara untuk mengelak pelbagai gangguan mistik dan menyeramkan angkara saka itu. Ikuti luahannya:

Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum meninggal, datuk sebelah ayah lumpuh selama setahun.

Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama paha ke bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain, kerap jatuh dan terlanggar.

Ketika saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik beradik lain selalu terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di rumah kami. Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling.

Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak.

Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang melihat kami. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya, saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam.

Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti dicucuk jarum halus apabila ayah pulang. Dalam rumah pula, selalu muncul serangga seperti belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang, berwarna hijau keperang-perangan dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh kuat dan berdesing.

Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah, keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana setiap malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar.

Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti paku mencucuk. Sebelum datang haid, saya ada lebam di paha dan kitaran haid juga tidak normal malah kadang-kadang tiada langsung.

Sebelum muncul lebam, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk selain bau darah hanyir. Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada ayah sebaliknya dimarahi dan memberi pelbagai alasan.

Disebabkan terlalu kerap menghidap penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah bagaimanapun mengesahkan kami sihat.

Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal perubatan mengatakan kami terkena sihir.

Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah semakin teruk.

Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik berang tanpa sebab hingga kami ketakutan.

Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami diberitahu masalah ibu dan saya berpunca daripada ‘belaan’ keluarga suami. Dia menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian menjaga harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah. Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat.

Pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga ibu terbabit.

Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda musibah pelik-pelik.

Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk – selalu demam, tidur malam terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar.

Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa, ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar:

“Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai ‘wali’ ketika menuntut. Wali itu menghadiahkan ‘khadam’ untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat dan berasa gerun.

“Selepas datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan. Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain.

“Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua keturunan keluarga ayah,” katanya.

Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kadangkala bermimpi melahirkan anak kecil.

Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati, kemungkinan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah yang mati pada usia muda. Wallahualam.

Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan menyusukan bayi. Pernah sekali antara sedar dan tidak, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang ‘ia’ sudah mati dan hendak memeluk saya.

Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi bau masih ada. Insiden pelik lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengah hari dan malam.

Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan sekeping bumbung (atap) rumah terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah berpinggan-pinggan.

Ayah juga ada menyimpan keris kecil yang katanya, pusaka yang harus dijaga rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit.

Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian yang baunya sungguh kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan.

Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri dan ketika itu di luar rumah ada bunyi serangga seperti belalang yang berdesing kuat.

Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh meninggal dunia selagi ‘amalannya’ diturunkan kepada waris keturunannya menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu memutuskan hubungan dengan ayah dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan.

Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu. Kini saya menetap di luar negara dan dalam proses membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada tetapi sudah tidak seteruk dulu.

Buat masa ini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada.

Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini.

Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka jika tidak dibendung membawa mudarat – perpecahan rumah tangga, perceraian suami isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang.

Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan Nabi dan Rasul.


Fakta Tanda Penyakit

Share

Fakta Tanda Penyakit 

Ukuran Jari
Wanita yang mempunyai indeks jari lebih pendek daripada jari cincin mereka mungkin mempunyai dua kali ganda terdedah kepada osteoartritis di lutut, menurut satu kajian pada tahun 2008. Manakala bagi lelaki yang mempunyai masalah ini, mereka lebih cenderung untuk mempunyai tahap estrogen yang lebih rendah. 

Cara elakkan: Kukuhkan otot di sekitar lutut anda. Ketika duduk, luruskan setiap kaki selari ke lantai sebanyak 10 kali dan pegang setiap rep selama 5 hingga 10 saat. 

Ketinggian
Wanita yang lebih tinggi lebih daripada 5 kaki 2 inci boleh kehilangan mutasi gen yang membantu mereka mencapai ulang tahun ke-100 mereka, menurut satu kajian. 

Cara elakkan: Berhenti merokok dan kurangkan alkohol dan daging makan. 

Ukuran Kaki
Jika kaki anda berada di pihak yang gempal, anda mungkin perlu untuk menjaga hati anda lebih baik. Dalam satu kajian, penyelidik British mendapati bahawa wanita dengan kaki di antara 20 dan 29 inci cenderung untuk mempunyai tahap yang lebih tinggi daripada empat enzim yang menunjukkan penyakit hati. Faktor-faktor seperti pemakanan kanak-kanak bukan sahaja boleh mempengaruhi corak pertumbuhan, tetapi juga pembangunan hati dan pertumbuhan menjadi dewasa, tambah mereka lagi. 

Cara elakkan: Hindari pendedahan kepada toksin yang hati anda perlu proses, yang akan memastikan ia sihat lebih lama. Pakai topeng dan sarung tangan semasa pembersihan atau bekerja dengan mana-mana jenis bahan kimia yang bahaya serta hadkan pengambilan alkohol. 

Deria Bau
Orang tua yang tidak dapat mengenal pasti bau pisang, lemon, kayu manis, atau barang-barang yang lain adalah lima kali lebih cenderung untuk mendapat penyakit Parkinson dalam tempoh 4 tahun, menurut satu kajian pada tahun 2008 di Parameswara Neurologi. Para penyelidik percaya bahawa kawasan otak yang bertanggungjawab untuk berfungsi untuk mencium bau boleh menjadi salah satu yang pertama terjejas oleh Parkinson penyakit di antara 2 dan 7 tahun sebelum diagnosis. 

Cara elakkan: Ambil makanan tambahan minyak ikan. Omega-3 asid lemak boleh meningkatkan rintangan otak anda untuk MPTP, sebatian toksik yang bertanggungjawab Parkinson. 

Ukuran Lengan
Mengalami masa yang sukar untuk mencapai ke atas kabinet dapur anda? Wanita yang mempunyai lengan pendek adalah 1 ½ kali lebih cenderung untuk mendapat penyakit Alzheimer daripada mereka yang dapat mencapai. Ujilah dengan menyebarkan tangan anda selari dengan lantai dan seseorang ukur dari hujung jari ke hujung jari. Ukuran yang kurang adalah kurang daripada 60 inci. 

Cara elakkan: Satu kajian selama 5 tahun mendapati bahawa orang dewasa yang menghabiskan masa yang paling terlibat dalam aktiviti riadah lebih daripada 2 kali mampu mengurangkan risiko penyakit Alzheimer berbanding mereka yang kurang menghabiskan masa beriadah. 

Saiz Coli
Wanita yang memakai saiz coli D atau lebih besar pada usia 20 adalah 1.5 kali lebih berkemungkinan untuk mendapat diabetes berbanding mereka yang memakai A atau lebih kecil, walaupun selepas penyelidik mengambil kira untuk obesiti, pemakanan, merokok, dan sejarah keluarga. Mereka turut mengatakan bahawa tisu lemak dalam payudara wanita adalah sensitif dan mempengaruhi rintangan insulin, yang boleh membawa kepada diabetes. 

Cara elakkan: Gabungkan selang tinggi intensiti dalam rutin senaman anda. Dalam satu kajian, orang dewasa yang melakukan enam 'sprint' 30 saat pada basikal senaman (4 minit berehat di antara) meningkatkan keupayaan badan untuk memetabolismekan gula darah dengan hampir 25% selepas enam sesi - cukup untuk mengurangkan risiko diabetes. 

Jenis Darah
Orang yang mempunyai jenis darah A, B, atau AB adalah 44 % lebih cenderung untuk menghidap kanser pankreas daripada orang-orang dengan jenis O, menurut satu kajian. Ini mungkin menunjukkan bahawa gen yang menentukan jenis darah juga boleh membawa risiko genetik untuk kanser pankreas. 

Cara elakkan: Ambil D vitamin tambahan. Orang dewasa yang mengambil 300 IU atau lebih setiap hari boleh mengurangkan risiko kanser pankreas mereka sehingga 44 %, berbanding dengan mereka yang mengambil kurang daripada 150 IU setiap hari dalam satu kajian 2006.


Wednesday, November 13, 2013

Peluang Beli Rumah Murah

Share


Peluang Beli Rumah Murah

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Satu skim pembiayaan baharu dengan kadar bayaran bulanan jauh lebih rendah akan diperkenalkan kerajaan bagi membantu individu yang gagal memperoleh pinjaman bagi memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Melalui skim baharu itu, pembeli PR1MA mungkin hanya akan membayar antara RM400 dan RM500 sebulan untuk sebuah rumah berharga RM200,000.

Kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding pinjaman bank komersial yang biasanya sekitar RM1,800 sebulan bagi membiayai pinjaman sebanyak itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kemudahan mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan untuk individu terbabit turut disediakan di bawah skim tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pengumuman rasmi mengenai pelaksanaan skim itu nanti akan diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat, selepas perincian pelaksanaannya dibawa ke pengetahuan Kabinet minggu ini.

"Saya akan bentangkan skim ini di mesyuarat Kabinet minggu ini sebelum Perdana Menteri mengumumkannya secara rasmi.

"Skim ini bakal menawarkan bayaran pinjaman bulanan yang cukup rendah berbanding ditetapkan institusi kewangan tempatan," katanya ketika pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, skim berkenaan akan membabitkan tiga peringkat pembiayaan bermula RM200,000, RM300,000 dan RM400,000.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 44,223 unit rumah PR1MA akan mula dibina tahun ini di seluruh negara.

Katanya, projek berkenaan akan dibina di 10 buah negeri bermula di Negeri Sembilan dengan 6,174 unit rumah.

"Walaupun kita menyasarkan membina 80,000 unit rumah setiap tahun, namun tahun ini mengalami sedikit kekangan disebabkan PR1MA ini hanya mula dilaksana bermula Jun lalu iaitu selepas Akta PR1MA diluluskan Parlimen Januari lepas.

"Memang sukar menyiapkan semua unit PR1MA (80,000 unit) seperti disasarkan dengan baki hanya dua bulan lagi, tapi yang penting, pembinaannya akan kita mulakan tahun ini juga," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kawasan atau tapak bagi projek PR1MA termasuk kerjasama dengan swasta dan pemilik tanah persendirian.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive