Thursday, April 3, 2014

Home » » TRAGEDI NAHAS AIR FRANCE 447

TRAGEDI NAHAS AIR FRANCE 447

Share


TRAGEDI NAHAS AIR FRANCE 447

KEPAYAHAN yang dialami oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk menemui pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada minggu lalu adalah hampir serupa dengan satu lagi nahas yang berlaku kira-kira lima tahun dahulu.

Nahas itu membabitkan pesawat Air France AF447 jenis Airbus A330-203 yang dalam penerbangan dari Rio de Janeiro, Brazil ke Paris, Perancis.

Dalam kejadian pada 1 Jun 2009, pesawat berkenaan telah terhempas di Lautan Atlantik iaitu selepas tiga jam 45 minit berlepas menyebabkan 228 orang di dalamnya terbunuh.

Bagaimanapun, berbeza dengan pesawat MH370 yang tidak menghantar mesej kecemasan, pesawat Air France AF447 telah menyalurkan mesej automatik mengenai kedudukan pesawat dan pelbagai masalah teknikal menerusi Sistem Laporan dan Penerimaan Komunikasi Pesawat (ACARS) selama tiga minit.

Mesej berkenaan telah membolehkan pasukan SAR mengesan posisi akhir pesawat iaitu 1,100 kilometer (km) dari timur laut Brazil.

Walaupun mempunyai banyak petunjuk dan dengan bantuan kelengkapan paling canggih, operasi SAR hanya berjaya mengesan serpihan pesawat pada hari ketiga, mayat pertama ditemui pada hari kelima dan kotak hitam pesawat tersebut pula hanya ditemui dua tahun kemudian.

HARI PERTAMA DAN KEDUA: Operasi SAR terus menemui kebuntuan setelah objek seperti pelapik kargo, boya dan tompokan besar minyak yang dikeluarkan dari laut dan disangkakan daripada pesawat Airbus itu sebenarnya adalah ‘sampah’ terapung yang dibuang oleh kapal.

HARI KETIGA: Teka-teki tentang nasib penumpang terjawab apabila serpihan berikutnya yang ditemui termasuk kerusi disahkan daripada pesawat malang tersebut. Penemuan itu melenyapkan sebarang harapan untuk menemui mangsa yang selamat.

HARI KELIMA: Dua mayat ditemui bersama serpihan kerusi, beg sandang yang mengandungi sebuah komputer dan beg kulit.




HARI KETUJUH: Sebahagian daripada ekor pesawat ditemui.

HARI KELAPAN: Operasi SAR mencapai kemuncaknya dengan jumlah anggota SAR seramai 1,100 orang, 15 kapal terbang dan puluhan kapal telah digunakan.

HARI KESEMBILAN: Sebuah kapal selam nuklear Perancis, Emeraude tiba di kawasan nahas bagi membantu mencari kotak hitam pesawat. Usaha tersebut bagaimanapun gagal.

HARI KE-13: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) turut menghantar dua kapal yang mempunyai alat pendengar audio dan sonar yang berkeupayaan untuk menjejaki sebarang benda di dalam laut yang mengeluarkan isyarat khususnya kotak hitam. Usaha berkenaan juga gagal.

HARI KE-15: Sebanyak 50 mayat berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat Brazil, Perancis, Sepanyol dan AS yang menjalankan pencarian meliputi kawasan seluas 19,000 km persegi.

HARI KE-25: Pasukan tentera Brazil mengumumkan telah menamatkan operasi SAR dengan jumlah yang ditemui kekal 50 mayat dan 640 serpihan pesawat.

Misi berkenaan ditamatkan setelah semua aset yang digunakan termasuk kapal terbang, kapal tentera laut, kapal selam, kapal hidrografi dengan peralatan kenderaan kawalan jauh dalam air (ROV), pesawat Sistem Amaran Awal dan Pemerintah (AWACS) gagal menemui serpihan baharu dan kotak hitam.

HARI KE-30: Selepas tempoh 30 hari, kotak hitam tidak lagi mengeluarkan isyarat bagi memudahkan pasukan pencari menemuinya.

Kegagalan untuk menemuinya kerana ia dipercayai telah tenggelam ke dalam rabung yang sangat dalam dengan anggaran kira-kira 4,700 meter.

DUA BULAN SELEPAS NAHAS: Kapal penyelidikan Perancis, The Pourquoi Pas melakukan pencarian pada awal Ogos 2009 dengan bantuan dua kapal selam mini dan keupayaan menyelam sehingga 6,000 meter serta peralatan sonar. Misi berkenaan gagal.

SETAHUN SELEPAS NAHAS: Tiga kenderaan dalam air berautonomi (AUV) yang mempunyai kebolehan khusus untuk pemetaan dasar laut dalam sehingga 6,000 meter telah digunakan.

AUV berkenaan dikendalikan oleh Institut Oseanografi Woods Hole (WHOI) dan Institut Waitt, AS.

Pencarian dilakukan selama 30 hari di kawasan seluas 4,000 km dengan keadaan dasar laut yang bergunung-ganang. Pasukan berkenaan tidak menemui apa-apa. Perbelanjaan yang dikeluarkan juga adalah cukup besar.




DUA TAHUN SELEPAS NAHAS: Sebuah kapal cari gali minyak, Alucia dan tiga AUV milik WHOI telah digunakan dalam pencarian pada 25 Mac 2011.

Kotak hitam dan lain-lain serpihan pesawat yang terdampar di dasar lautan akhirnya telah ditemui setelah lima hari pencarian.

Antara serpihan yang ditemui pada kedalaman antara 3,800 hingga 4,000 meter adalah badan pesawat, enjin, sayap, gear pendaratan dan kotak hitam.

Sebanyak 104 rangka mayat telah ditemui menjadikan keseluruhan 154 mayat. Hanya 74 mayat gagal ditemui.

Hasil penemuan itu telah membolehkan Biro Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA) mengeluarkan laporan siasatan lengkap bertarikh Julai 2012.

Laporan berkenaan menyebut kristal ais telah menyekat peralatan mengukur kelajuan sehingga menyebabkan sistem pemanduan automatik tidak berfungsi.

Kegagalan juruterbang bertindak dengan pantas dan betul untuk mengambil alih pemanduan pesawat secara manual menyebabkan pesawat terhempas di laut dengan kelajuan 280 km sejam dan berkecai.

Sumber

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Singgah je???Komen la sikit.:-D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive