Monday, April 28, 2014

Misteri Harta Karun Pulau Nangka Bakal Terjawab

Share


Misteri Harta Karun Pulau Nangka Bakal Terjawab

MELAKA: Persoalan mengenai kewujudan harta karun peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka bakal diketahui Rabu ini. 

EXCO Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan, berkata kerja-kerja mengorek dinding batu di kawasan dipercayai pintu tempat simpanan harta karun itu kini sudah 90 peratus dan dijangka selesai Rabu ini. 

"Kita percaya pintu ini akan berjaya dibuka dalam tempoh dua hari lagi seterusnya dapat memberi jawapan sama ada harta karun tersebut benar-benar wujud atau tidak," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pencarian harta karun di Pulau Nangka di sini, hari ini. 

Beliau berkata, kerja-kerja pencarian harta karun itu dijalankan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd melalui kontrak selama empat bulan bermula Januari lalu hingga 30 April ini. 

Katanya, jika syarikat terbabit gagal menyelesaikan kerja-kerja mengorek itu dalam tempoh kontrak, kerajaan negeri akan menyerahkannya kepada syarikat lain. 

"Jika Smart Partnership International berjaya membuka pintu ini dan tidak menemui sebarang artifak, kita akan memberi mereka lanjutan masa untuk proses pencarian harta karun," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata pihaknya menjalankan kerja-kerja menebuk dinding batu secara intensif selama 24 jam sehari membabitkan 36 pekerja. 
"Sehingga kini, kami masih belum menemui apa-apa tanda dan jika sebarang artifak atau harta tersebut ditemui kami akan maklumkan segera dalam satu sidang akhbar khas," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shah Gzali Khan Shahadat, berkata pihaknya melalui Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am akan bertugas menjaga kawasan itu jika terdapat penemuan artifak atau harta berkenaan. 

Pulau Nangka adalah sebuah pulau tidak berpenghuni berkeluasan kira-kira 20 hektar dan terletak 4 kilometer dari Pulau Besar, Jasin. 

Saturday, April 19, 2014

10 Tips Menjaga Bateri Smartphone

Share



10 Tips Menjaga Bateri Smartphone

1. Cas Pertama Kali Mesti Penuh
Apa pun jenis bateri handphone, proses mengecas untuk kali pertama sangat penting dalam menentukan usia bateri. Ini kerana apabila kita mengecas bateri, seluruh sel dalam handphone berfungsi maka disebabkan itulah cas untuk kali pertama disarankan waktunya lebih panjang (seperti disyorkan).

Perlu diingat bahawa pengecasan pertama bateri selama 8 jam adalah konsep yang tidak benar buat masa kini. Pengecasan bateri selama 8 jam adalah diperlukan untuk handphone model lama yang menggunakan bateri jenis Ni-Mh atau Ni-Cd.

Untuk bateri jenis Lithium (kebanyakan handphone sekarang guna bateri jenis ni), tempoh pengecasan pertama selama 3 jam sudah cukup. Paling lama pun 4 jam. Dan sepatutnya jika pertama kali menggunakan handphone baru, anda kena gunakannya sehingga habis bateri, kemudian barulah dicas selama 3-4 jam.

2. Kosongkan Bateri Sebelum Cas
Pastikan bateri dalam keadaan kosong sebelum diisi. Ini adalah menghindari memory effect ketika menggunakan bateri baru. Biasanya bateri hendaklah berada dalam keadaan tidak terlalu kosong, kerana bateri baru sudah boleh digunakan untuk menghidupkan handphone meski pun ia tidak mempunyai kekuatan tenaga yang lama . Bagi mengosongkan bateri anda hendaklah menghidupkan handphone sampai low batt.

Namun bateri yang digunakan handphone zaman sekarang adalah jenis Lithium ion adalah lebih baik dari jenis Nikel Cadmium ketika mula-mula keluaran awal handhphone kerana ada dead memori. Bateri jenis Nikel Cadmium ini perlu dipastikan bateri habis caj ini sebelum dicajkan semula berbeza bateri Lithium ion boleh caj bila-bila masa sahaja.

3. Disable Aplikasi Yang Jarang Digunakan
Jimatkan penggunaan bateri handphone dengan mematikan aplikasi yang jarang digunakan
Anda harus ingat bahawa bateri handphone anda ada umur berdasarkan kitar hayat pengecasannya. Semakin banyak anda menggunakan kuasa bateri anda, maka semakin kerap anda perlu mengecas bateri berkenaan, bererti kitar hayat cas bateri handphone anda akan cepat habis. Untuk mengelakkan hal tersebut, anda perlu berjimat dengan mematikan aplikasi yang tidak atau jarang anda gunakan.

Ada beberapa aplikasi yang banyak menggunakan tenaga yang biasa terdapat dalam handphone canggih/smartphone, yang terkadang kita sendiri tidak begitu sedar kewujudannya, namun tetap aktif meskipun kita tidak ingin menggunakannya seperti Bluetooth, Wi fi, 3G, push email, WIFI scanning, background application dan lain-lain. Disable aplikasi tersebut jika ia tidak digunakan. Mengurangkan brightness screen handphone dapat memanjangkan jangka hayat bateri.

4. Jangan Membuat Panggilan Ketika Cas
Ini juga termasuk kebiasaan buruk beberapa pengguna handphone. Selain tidak baik untuk kesihatan (kerana ketika mengecas tahap radiasi dan suhu bateri bertambah), menelefon sambil mengecas handphone juga akan menggunakan kuasa bateri, sehingga secara tidak disedari, ini akan memanjangkan proses pengisian tenaga di dalam bateri.

5. Tutup HP Ketika Cas
Biasakan untuk mematikan handphone atau sekurang-kurangnya mematikan vibrate features ketika sedang mengecas. Mematikan handphone ketika mengecas adalah tindakan yang bijak, Ini kerana ketika handphone ON, arus elektrik yang keluar masuk akan merosakkan molekul dalam bateri bateri akibat daripada penambahan beban pada proses kimia dalam bateri.

6. Jangan Terlebih Cas
Ini juga salah satu kebiasaan buruk yang sering dipraktikkan. Terkadang kita malas atau lupa untuk segera menghentikan proses mengecas, walaupun sebenarnya bateri handphone kita sudah penuh. Paling dahsyat, kita biasanya suka melakukan proses mengecas ketika hendak tidur. Proses mengecas normal untuk bateri modern biasanya sekitar 2-4 jam, bila kita membiarkannya semalaman dalam keadaan cas (anggap kita tidur sekitar 6 jam), maka bateri akan mengalami “overcharge” selama 2–3 jam, dan ini bukanlah baik untuk bateri kita. “Overcharging” bateri adalah salah satu pembunuh tersembunyi yang dapat mempercepat kematian umur bateri.

7. Kurangkan Membuat Panggilan Ketika Sedang Bergerak
Menerima atau membuat panggilan dalam kenderaan memerlukan tenaga yang tinggi. Ini kerana handphone berusaha untuk mencari signal dari BTS yang terdekat. Aktiviti inilah yang memakan tenaga bateri yang banyak. Apatah lagi jika anda menggunakan sambungan internet dalam keadaan bergerak.

8. Jangan Letak Handphone di Tempat Yang Panas
Suhu udara yang panas adalah musuh utama setiap komponen gadget/peralatan elektronik. Baik panas atau sejuk yang berlebihan boleh merosakkan komponen tersebut, termasuk juga bateri handphone. Tertinggal di dalam kereta di cuaca panas terik, bermakna anda perlu bersedia untuk beli bateri baru.

9. Gunakan Charger Yang Original
Charger yang original direka dengan aliran arus yang sesuai untuk mengecas bateri handphone tersebut. Charger orang lain atau menggunakan charger yang tidak sesuai akan mempengaruhi aliran daya ke bateri dan dalam jangka panjang boleh merosakkannya.

10. Elakkan Cas Handphone di Dalam Kereta
Ketika mengecas handphone dalam kereta, kita menggunakan port pemetik api sebagai sambungan. Voltage pada kereta sangatlah tidak stabil, terutama ketika kenderaan sedang berjalan dan menyebabkan arus yang masuk ke dalam bateri juga tidak stabil. Maka apabila anda selalu mengecas dalam kereta, komponen bateri akan mudah rosak.


Bateri Smartphone Cepat Habis|Tips Bateri Handphone Tahan Lama|Bateri Handphone Tahan Lama|Tips Penjagaan Bateri Handphone|Tips Jimatkan Bateri Handphone|Bateri Handphone Android Cepat Habis

Friday, April 18, 2014

Hati-Hati Dengan Taktik Tunjuk, Henti dan Samun

Share



Hati-Hati DenganTaktik Tunjuk, Henti dan Samun

Baru-baru ini telah dikesan taktik penjenayah yang cuba melakukan rompakan terhadap pemandu kereta yang sedang memandu di jalan raya.


Taktik yang diguna pakai penjenayah seperti berikut:

• Menunggang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki dan menunjukkan tanda isyarat tangan ke arah tayar bahagian kiri atau kanan.

• Sekiranya pemandu tidak berhenti pada waktu itu, datang sebuah motosikal lain (kedua) dinaiki dua lelaki menunjukkan perkara yang sama bagi mewujudkan rasa khuatir dalam diri pemandu supaya memberhentikan kenderaan ke bahu jalan.

• Apabila pemandu memberhentikan kenderaan, suspek akan turun dari motosikal dan menuju ke bahagian kiri atau kanan tayar dan meminta pemandu melihat kerosakan yang dialami.

• Pada masa yang sama, motosikal yang dinaiki dua lelaki yang pertama turut memberhentikan motosikal mereka tidak jauh dari kenderaan mangsa.

• Apabila mangsa keluar dari kenderaan atau menurunkan cermin kereta. Suspek dari motosikal pertama akan bertindak melarikan kereta mangsa atau memaksa mangsa untuk keluar dari kenderaan sebelum melarikan kereta.

NASIHAT

1. Sekiranya anda berada dalam keadaan yang dinyatakan terus memandu ke balai polis berdekatan atau kawasan yang ramai orang atau berhenti di kawasan ‘safety point’ antaranya 7-Eleven, Pos Malaysia dan stesen minyak Petron.

2. Tidak panik dan kenal pasti nombor kenderaan yang dinaiki suspek seperti (jenis motosikal, warna, nombor pendaftaran, bangsa, pakaian dan jantina).

3. Memastikan nombor telefon bilik gerakan mana-mana balai polis berdekatan.

4. Membunyikan hon kereta beberapa kali untuk menarik perhatian penggunakan jalan raya sekiranya berada dalam situasi kecemasan.

5. Jangan menggadai nyawa sekiranya berlaku pergelutan dengan suspek untuk mempertahankan harta benda.

Thursday, April 17, 2014

Pelancaran Yamaha FZ150i 2014

Share


Pelancaran Yamaha FZ150i 2014


PETALING JAYA - Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd memperkenalkan edisi terbaru motosikal Yamaha FZ 150i, di sini, sebentar tadi.

Motosikal kategori 'Street Naked' itu dibangunkan menggunakan konsep jentera dua roda berkuasa tinggi dengan menawarkan tunggangan gaya sporty.

Pembaharuan yang dilakukan pada Yamaha FZ 150i membabitkan perumah lampu hadapan dan belakang, meter kelajuan digital, rekaan tangki petrol tampak sporty serta menggunakan brek cakera belakang.

Ia hadir dengan tiga pilihan warna seperti merah, putih dan hitam yang dijual RM8,538 tidak termasuk insurans.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan HLYM, CH Ng (tengah).




Petaling Jaya: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd bakal membawa masuk motosikal berkuasa tinggi terbaru menerusi model Yamaha MT-09 pada pertengahan tahun ini.

Pengarah Urusannya, CH Ng berkata, motosikal itu akan dilakukan pemasangan tempatan (CKD) di kilang HLYM di Sungai Buloh, Selangor.

“Bagaimanapun, pada permulaan kita mungkin menjual motosikal yang diimport, sebelum ia dipasang secara CKD sepenuhnya pada hujung tahun ini.



“Yamaha MT-09 varian CKD akan hadir spesifikasi sama dan tiada perubahan berbanding model yang diimport. Ia berada dalam kategori ‘sportbike’ menggunakan enjin tiga silinder baru bersesaran 847cc yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 115hp,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran model terbaru Yamaha FZ 150i, semalam.

Hadir sama, Pengarah Yamaha Motor, Hama Hidenobu dan Pengurus Besar Pemasaran dan Jualan HLYM, Voon Yin Kong.


Mengulas mengenai model terbaru Yamaha FZ 150i yang dilancarkan semalam, Ng berkata, ia hadir dengan reka bentuk bergaya yang dilengkapi beberapa perubahan membabitkan perumah lampu utama hadapan dan belakang, ciri keselamatan ditingkatkan, tangki bahan api rekaan sporty dan padanan brek cakera belakang.

Menurutnya, Yamaha FZ 150i dijangka menyumbang sehingga lima peratus ke dalam keseluruhan jualan motosikal jenama Yamaha dengan anggaran 800 unit sebulan.

“Biarpun beberapa perubahan dilakukan, pengguna hanya perlu menambah RM250 bagi ciri terbaru yang ada Yamaha FZ 150i ini.


“Saya yakin harga yang ditawarkan iaitu RM8,538 (tidak termasuk insurans) sangat berbaloi dengan ciri terbaru yang ada pada jentera ini,” katanya.

Yamaha FZ 150i hadir dengan tiga warna membabitkan merah, putih dan hitam yang menggunakan enjin pancitan bahan api empat injap SOHC bersesaran 150cc.

Motosikal itu akan berada di 230 pusat pengedar Yamaha bermula minggu depan.


Harga Yamaha FZ150i 2014|Yamaha FZ150i|FZ150i

Tuesday, April 15, 2014

Harta Karun Dalam Gua Di Melaka?

Share


Harta Karun Dalam Gua Di Melaka?

MELAKA - Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menafikan kewujudan gua yang dikatakan mempunyai harta karun berbilion ringgit di Pulau Nangka, di sini seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan, semalam.

Pengurus Besarnya, Datuk Khamis Abas berkata, setakat ini pihaknya tidak menemui gua yang berada kira-kira 17 kilometer dari daratan seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

“Dari mata kasar, tiada gua yang dimaksudkan. Boleh dikatakan ia cuma bayangan bahawa harta karun tu dipercayai disimpan.

“Namun hingga saat ini pintu gua tersebut belum lagi dijumpai,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Khamis bagaimanapun tidak menafikan kisah mengenai pencarian harta karun itu sudah bermula lebih sedekad lalu oleh pihak yang taksub.

“Namun, saya difahamkan buat masa ni ada dua syarikat berminat dalam pencarian tersebut, syarikat pertama masa yang diberi hingga 30 April ini. Selepas itu, sebuah lagi syarikat lain akan masuk mulai 1 Mei depan,” katanya.

Sumber



JAUH dalam kegelapan dasar laut yang terselindung di beberapa lokasi rahsia di perairan negara ini, tersembunyi beberapa khazanah misteri berusia ratusan tahun tanpa disedari sesiapa.

Selama beratus tahun itu jugalah khazanah berkenaan terpegun melewati masa. Kehadirannya di dasar laut yang asing itu sekadar menjadi mainan dan lokasi kediaman buat ribuan ikan dan hidupan laut.

Sehinggalah kira-kira 30 tahun lalu, dengan penuh persoalan yang membenih pada minda, beberapa penyelidik mula menyelam di dasar lautan perairan negara bagi meneroka lokasi misteri khazanah berkenaan.

Selepas beberapa ketika mencari pada pelbagai tempat di dasar laut, akhirnya penyelidik menemui satu bentuk tinggalan aneh yang terdampar di dasar lautan luas itu.

Selepas diamati dan didekati, akhirnya penyelidik terbabit menyedari bahawa di dasar Laut China Selatan dan Selat Melaka di negara ini, tersimpan banyak warisan kapal karam purba yang turut menenggelamkan bersamanya khazanah harta karun yang tidak ternilai harganya.

Pakar Arkeologi yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr Adi Taha, berkata keadaan geografi dan sejarah silam di Tanah Melayu menyebabkan ia memiliki banyak khazanah maritim berupa kapal karam dan harta karun.

Lokasi tanah air kita yang strategik iaitu terletak di tengah jalan laut yang menghubungkan antara dunia Timur dan Barat menyebabkan ia menjadi lokasi persinggahan pedagang, suatu ketika dulu.

Keadaan itu juga menyebabkan Melaka menjadi terkenal sebagai satu daripada lokasi perdagangan pada abad ke-15 dan jalan laut sekitar negara kita dipenuhi kapal dagang yang membawa banyak harta atau barang dagangan, katanya.

Beliau berkata, ada kapal yang membawa barang dagangan berharga itu yang karam di perairan negara akibat pelbagai sebab antaranya melanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut.

Seterusnya melewati masa sedari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin banyak pula kapal yang membawa pelbagai harta karun, karam di dasar laut itu.

Harta karun yang ditemui dalam kapal karam berkenaan bagaimanapun bukanlah berupa jongkong emas atau permata sebaliknya tembikar, seramik, senjata, wang syiling lama selain pelbagai barang dagangan pada zaman itu.

Antara usaha terawal dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dilakukan sekitar penghujung 1970-an apabila Kerajaan Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran Chendering.

Kapal itu karam kerana terkena tembakan peluru berpandu dan tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut. Kerja penyelaman dijalankan dan lakaran bentuk kapal itu berjaya dihasilkan, katanya.

Beliau berkata, antara penemuan terbesar dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dicatat pada 1980 apabila bangkai kapal dagang Risdam ditemui di perairan Mersing, Johor. Kapal dagang milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) itu sudah berusia 253 tahun dan ia didapati karam pada 1727.

Harta karun yang ditemui dalam kapal itu adalah 90 gading gajah, kira-kira 100 jongkong timah dan dua tembikar yang dibuat dari Thailand.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 10 kapal karam sudah ditemui di perairan Malaysia dan selain Jabatan Muzium, usaha mencari kapal itu turut membabitkan pihak swasta dan orang perseorangan termasuk pencari harta karun.

Antara kapal karam yang ditemui adalah:

1.Kapal Nassau milik Belanda ditemui pada kedalaman 27 meter dari paras laut berhampiran Port Dickson. Kapal yang ditemui pada 1993 itu dipercayai karam dalam pertempuran Tanjung Tuan antara Belanda dengan Portugis pada 1606. Antara harta karun yang ditemui dalam kapal itu adalah senapang besi, meriam gangsa, kelengkapan pelayaran seperti kompas, 1,000 syiling perak Sepanyol dan bekas minuman.

2.Kapal Turiang yang dipercayai dari China, tenggelam pada 1370 ditemui pada 1998 di perairan Johor. Ia tenggelam pada kedalaman 42 meter dan seramik yang ditemui dalam kapal itu masih berkeadaan baik.

3.Kapal Nanyang yang juga dipercayai dari China ditemui pada kedalaman 54 meter dari paras laut, berhampiran perairan Johor. Kira-kira 400 seramik sudah dikeluarkan dari kapal yang tenggelam pada 1380 dan ditemui semula pada 1995 itu.

4.Kapal Royal Nanhai yang tenggelam pada 1460 ditemui pada 1995 di kedalaman 46 meter dari paras laut, kira-kira 40 batu nautika dari Pantai Timur. Sebanyak 21,000 seramik antaranya buatan Thailand, China dan Vietnam ditemui di dalamnya.

5.Kapal Longquan yang karam sekitar 1390, ditemui semula pada 1996 pada kedalaman 63 meter dari paras laut dan 23 batu nautika dari pantai Terengganu. Ia membawa seramik dari China dan Thailand.

6.Kapal Xuande yang karam pada 1540 ditemui pada kedalaman 53 meter dari paras laut dan jaraknya 34 batu nautika dari pantai Pahang. Kapal yang ditemui pada 1996 itu membawa harta karun berupa seramik dari China dan Thailand.

7.Kapal Desaru yang turut membawa seramik buatan China, ditemui pada kedalaman 20 meter dari paras laut berdekatan Mersing. Kapal yang karam pada 1830 dan dijumpai pada 2001 itu berukuran panjang 30 meter dan tujuh meter lebar.

8.Kapal Singtai tenggelam pada 1550 dan ditemui pada 2001 kira-kira 12 batu nautika dari Kelantan. Kapal yang panjangnya 22 meter itu belayar di Laut China Selatan dan ratusan seramik ditemui di dalamnya.

9.Kapal Diana milik British pula karam pada 1817 di perairan Selat Melaka dan hanya ditemui pada 1993 pada kedalaman 34 meter dari paras laut. Barang seramik dan porselin adalah kargo utama dalam kapal yang mempunyai muatan seberat 11 tan. Antara barangan itu ialah pinggan mangkuk, set teh dan kira-kira 24,000 unit tembikar China daripada jenis biru dan putih.

Sunday, April 6, 2014

Perbezaan Handphone Set Original vs Set AP

Share

Perbezaan Handphone Set Original vs Set AP


Apa itu Original set dan apa itu AP Set?

Apakah perbezaan di antara Original set dan AP Set?

Bagaimanakah perbezaan warranty di antara Original set dan AP set?

Apakah perbezaan kualiti di antara Original set dan AP set?

Bagaimanakah perbezaan harga Original set dan AP set?



Semua soalan di atas merupakan antara yang bermain di kepala sebelum membuat keputusan membeli sebuah handphone samada Original set atau AP Set. Ini kerana jualan handphone terutama smartphone seperti cendawan tumbuh masa kini dengan harga adalah amat berbeza walaupun model yang sama. Di bawah merupakan jawapan kepada persoalan di atas:


AP Set 
AP set ialah telefon yang diimport dengan kebenaran kastam, yakni telah dicukaikan oleh kastam dengan mendapat Approval Permit. AP set ertinya telefon ini diimport oleh Syarikat yang selain daripada pengedar yang sah (authorised distributor) seperti yang telah disebutkan tadi.

Ada di antara syarikat-syarikat yang import ini adalah syarikat yang besar. Jadi mereka boleh memberi jaminan yang agak elok juga, kerana syarikat jenis ini banyak cawangan di seluruh malaysia. Jaminan yang diberikan bukanlah jaminan daripada NOKIA atau SAMSUNG atau SE atau dengan kata lain, bukan jaminan pengilang, tetapi jaminan oleh pengimport itu sendiri.

Oleh itu, jaminannya sangat terhad. Terutama apabila telefon mempunyai masalah sehingga Charger dengan bateri kadang kala barang tiruan yang digunakan, bukan yang original daripada kilang telefon itu sendiri. Pilihlah kedai yang sudah dikenali dan mendapat rating daripada pengguna yang telah membeli dari kedai tersebut. Contohnya Directd di SS15 Subang Jaya.


Original set 
Apa yang dimaksudkan dengan ORI sebenarnya ialah telefon-telefon yang diedarkan oleh PENGEDAR YANG SAH yang dilantik dan diberi lesen pengedaran yang khas oleh pengeluar-pengeluar telefon seperti Nokia, Samsung, Motorola, SonyEricsson, Lenovo dan lain-lain lagi.

Telefon ini telah disediakan khas untuk jualan di Malaysia dengan beberapa sistem yang diselaraskan dengan sistem yang disokong oleh industri telekomunikasi Malaysia. Contohnya sistem bahasa Malaysia dalam telefon bimbit dan dalam buku panduannya.

Walaupun harganya mungkin agak mahal, tetapi anda akan rasa lebih selamat menggunakannya kerana jaminan yang diberikan adalah jaminan oleh PENGILANG sendiri. Ertinya, sekiranya berlaku kerosakan telefon anda, termasuk kerosakan kamera, anda boleh claim warranty dalam tempoh jaminan tersebut. Bahkan dalam sesetengah kes, pada luar tempoh jaminan pun dapat juga. 

Cari sahaja cawangan NOKIA, atau SAMSUNG atau apa jua jenama di negeri-negeri seluruh Malaysia, anda boleh bawa ke mana-mana cawangan jika ada kerosakan. Bahkan bagi sesetengah telefon ada Insurans untuk kerosakan apabila telefon masuk air pun! 

Berikut adalah senarai pengedar SAH (authorized distributor) bagi jenama telefon di Malaysia: 

NOKIA – Zitron, Avaxx, i-Mobile
SAMSUNG – Samsung, FMG
MOTOROLA – Midlands, Brightstar, Thorus
SONY ERICCSON - Midland, Grandtech dan T-Choice
HTC - SiS
LG - Thorus
IPHONE - Apple
LENOVO - ECS, Ingram Micro

Itulah antara Syarikat yang merupakan pengedar yang sah di Malaysia. Selain daripada itu adalah pengedar tidak sah walaupun mereka dakwa ORI set.


Perbezaan Kualiti
Dari segi kualiti, AP set adalah sama dengan original set. Ada company yang menjual AP set dengan companynya bertaraf ISO. Mereka boleh buktikan ini adalah set baru dari NOKIA tetapi AP.

Tidak dapat dinafikan ada peniaga yang mengambil untung dengan menukar set dalaman dan menjualnya dengan harga yang sama dengan set original dipanggil set recond.


Warranty

AP Set 
Dari segi warranty AP Set, paling baru AP set menawarkan warranty selama 24 BULAN untuk transceiver (mainboard/chipset) dan 3 BULAN untuk LCD, 3 BULAN warranty diberikan untuk battery dan charger. Warranty pula adalah dari Brandstar contohnya, bukan dari SONY. 

Urusan membaik pulih telefon di dalam warranty diuruskan oleh syarikat baik pulih mereka sendiri atau yang mempunyai hubungan dengan syarikat mereka. Kebiasaannya syarikat baik pulih handphone ini wujud berdekatan tetapi tidak semua. 

Oleh itu, kalau jikalau beli AP set di Kuala Lumpur, pembeli kena menghantar set mereka yang rosak kembali ke Kuala Lumpur walaupun mereka telah berpindah ke tempat lain misalnya.


Original Set 
Warranty Original set pula datangnya dari Midland atau company original yang lain. Warranty adalah selama 1 TAHUN termasuk trasceiver, LCD dan battery. Oleh kerana kita beli yang original, tentulah kita expect national warranty, jadi kalau kita beli di Kuala Lumpur kita boleh hantar set yang rosak di mana-mana wakil yang sah dan dilantik di kawasan berhampiran.


Harga 
Harga ap set adalah lebih murah dari original biasanya di dalam 10% - 30% lagi murah. Contohnya harga Sony Experia Z1 berharga lebih kurang RM1559. Original set ialah RM 1839. Perbezaan sebanyak RM280. Oleh itu, pembeli lebih berminat untuk membeli set AP disebabkan harganya. 

Adakalanya set AP tiada pilihan dari segi warna. AP set kadangkala datang dengan hanya satu warna dan menyebabkan pilihan pelanggan menjadi sukar. Memang kadangkala terdapat warna yang diingini tetapi ia kadangkala datang dalam satu warna dalam satu batch. 



Cara kenal pasti Set Original dan Set AP 

Paling Utama:
Lihat pada sticker belakang handphone, kalau tertulis selain daripada syarikat-syarikat yang sah yang disebutkan di atas, maka ia adalah AP. Stiker yang ORI biasanya tidak akan ditampal melindungi nombor siri telefon.

Kedua:
Boleh tengok kad warranty, kad warranty daripada pengedar sah, akan tertera nama syarikat pengedar yang sah tersebut. 

Ketiga: 
No Siri telefon: IMEI di belakang bateri itu sama dengan nombor siri di kotak. Jika anda membeli yang ORI, pastikan anda dapat kotak yang ada Nombor Siri yang sama dengan handphone. Sekalipun di telefon anda tertulis ZITRON, jangan terima kotak yang nombor sirinya berbeza dengan di telefon anda. 

Sekarang ini, terpulanglah untuk anda memilih yang mana sesuai bagi anda. Nak murah, pilih AP, ada duit lebih ambik yang ORI. Kalau tak pandai jaga ori atau AP tetap sama. Dan perlu diingat set klon totally different dari set ori dan AP.

Kalau korang ada info nak tambah atau nak betulkan yang salah boleh komen kat bawah:-)

Thursday, April 3, 2014

TRAGEDI NAHAS AIR FRANCE 447

Share


TRAGEDI NAHAS AIR FRANCE 447

KEPAYAHAN yang dialami oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk menemui pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada minggu lalu adalah hampir serupa dengan satu lagi nahas yang berlaku kira-kira lima tahun dahulu.

Nahas itu membabitkan pesawat Air France AF447 jenis Airbus A330-203 yang dalam penerbangan dari Rio de Janeiro, Brazil ke Paris, Perancis.

Dalam kejadian pada 1 Jun 2009, pesawat berkenaan telah terhempas di Lautan Atlantik iaitu selepas tiga jam 45 minit berlepas menyebabkan 228 orang di dalamnya terbunuh.

Bagaimanapun, berbeza dengan pesawat MH370 yang tidak menghantar mesej kecemasan, pesawat Air France AF447 telah menyalurkan mesej automatik mengenai kedudukan pesawat dan pelbagai masalah teknikal menerusi Sistem Laporan dan Penerimaan Komunikasi Pesawat (ACARS) selama tiga minit.

Mesej berkenaan telah membolehkan pasukan SAR mengesan posisi akhir pesawat iaitu 1,100 kilometer (km) dari timur laut Brazil.

Walaupun mempunyai banyak petunjuk dan dengan bantuan kelengkapan paling canggih, operasi SAR hanya berjaya mengesan serpihan pesawat pada hari ketiga, mayat pertama ditemui pada hari kelima dan kotak hitam pesawat tersebut pula hanya ditemui dua tahun kemudian.

HARI PERTAMA DAN KEDUA: Operasi SAR terus menemui kebuntuan setelah objek seperti pelapik kargo, boya dan tompokan besar minyak yang dikeluarkan dari laut dan disangkakan daripada pesawat Airbus itu sebenarnya adalah ‘sampah’ terapung yang dibuang oleh kapal.

HARI KETIGA: Teka-teki tentang nasib penumpang terjawab apabila serpihan berikutnya yang ditemui termasuk kerusi disahkan daripada pesawat malang tersebut. Penemuan itu melenyapkan sebarang harapan untuk menemui mangsa yang selamat.

HARI KELIMA: Dua mayat ditemui bersama serpihan kerusi, beg sandang yang mengandungi sebuah komputer dan beg kulit.




HARI KETUJUH: Sebahagian daripada ekor pesawat ditemui.

HARI KELAPAN: Operasi SAR mencapai kemuncaknya dengan jumlah anggota SAR seramai 1,100 orang, 15 kapal terbang dan puluhan kapal telah digunakan.

HARI KESEMBILAN: Sebuah kapal selam nuklear Perancis, Emeraude tiba di kawasan nahas bagi membantu mencari kotak hitam pesawat. Usaha tersebut bagaimanapun gagal.

HARI KE-13: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) turut menghantar dua kapal yang mempunyai alat pendengar audio dan sonar yang berkeupayaan untuk menjejaki sebarang benda di dalam laut yang mengeluarkan isyarat khususnya kotak hitam. Usaha berkenaan juga gagal.

HARI KE-15: Sebanyak 50 mayat berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat Brazil, Perancis, Sepanyol dan AS yang menjalankan pencarian meliputi kawasan seluas 19,000 km persegi.

HARI KE-25: Pasukan tentera Brazil mengumumkan telah menamatkan operasi SAR dengan jumlah yang ditemui kekal 50 mayat dan 640 serpihan pesawat.

Misi berkenaan ditamatkan setelah semua aset yang digunakan termasuk kapal terbang, kapal tentera laut, kapal selam, kapal hidrografi dengan peralatan kenderaan kawalan jauh dalam air (ROV), pesawat Sistem Amaran Awal dan Pemerintah (AWACS) gagal menemui serpihan baharu dan kotak hitam.

HARI KE-30: Selepas tempoh 30 hari, kotak hitam tidak lagi mengeluarkan isyarat bagi memudahkan pasukan pencari menemuinya.

Kegagalan untuk menemuinya kerana ia dipercayai telah tenggelam ke dalam rabung yang sangat dalam dengan anggaran kira-kira 4,700 meter.

DUA BULAN SELEPAS NAHAS: Kapal penyelidikan Perancis, The Pourquoi Pas melakukan pencarian pada awal Ogos 2009 dengan bantuan dua kapal selam mini dan keupayaan menyelam sehingga 6,000 meter serta peralatan sonar. Misi berkenaan gagal.

SETAHUN SELEPAS NAHAS: Tiga kenderaan dalam air berautonomi (AUV) yang mempunyai kebolehan khusus untuk pemetaan dasar laut dalam sehingga 6,000 meter telah digunakan.

AUV berkenaan dikendalikan oleh Institut Oseanografi Woods Hole (WHOI) dan Institut Waitt, AS.

Pencarian dilakukan selama 30 hari di kawasan seluas 4,000 km dengan keadaan dasar laut yang bergunung-ganang. Pasukan berkenaan tidak menemui apa-apa. Perbelanjaan yang dikeluarkan juga adalah cukup besar.




DUA TAHUN SELEPAS NAHAS: Sebuah kapal cari gali minyak, Alucia dan tiga AUV milik WHOI telah digunakan dalam pencarian pada 25 Mac 2011.

Kotak hitam dan lain-lain serpihan pesawat yang terdampar di dasar lautan akhirnya telah ditemui setelah lima hari pencarian.

Antara serpihan yang ditemui pada kedalaman antara 3,800 hingga 4,000 meter adalah badan pesawat, enjin, sayap, gear pendaratan dan kotak hitam.

Sebanyak 104 rangka mayat telah ditemui menjadikan keseluruhan 154 mayat. Hanya 74 mayat gagal ditemui.

Hasil penemuan itu telah membolehkan Biro Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA) mengeluarkan laporan siasatan lengkap bertarikh Julai 2012.

Laporan berkenaan menyebut kristal ais telah menyekat peralatan mengukur kelajuan sehingga menyebabkan sistem pemanduan automatik tidak berfungsi.

Kegagalan juruterbang bertindak dengan pantas dan betul untuk mengambil alih pemanduan pesawat secara manual menyebabkan pesawat terhempas di laut dengan kelajuan 280 km sejam dan berkecai.

Sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive