Wednesday, August 13, 2014

Virus Ebola, Tanda dan Kesannya

Share

Virus Ebola, Tanda dan Kesannya

Penyakit Virus Ebola (EVD) yang sebelum ini dikenali sebagai demam berdarah Ebola berisiko menyebabkan kematian sehingga 90 peratus apabila dijangkiti.

EVD pertama kali dikesan di Sudan dan Republik Demokratik Congo pada 1976 dan merekodkan lebih 1,300 kematian selepas merebak di barat Afrika melalui genus Ebola bawaan haiwan liar sebelum menjangkiti manusia.

Ebola menjangkiti manusia menerusi darah dan cecair daripada haiwan yang membawa virus tersebut. Di Afrika, kes-kes jangkitan pertama yang direkod melibatkan kontak manusia dengan babi, cimpanzi, gorila, kelawar, monyet, antelop dan landak yang ditemui mati di hutan.

Sejak itu, Ebola merebak dan menjangkiti manusia menerusi cecair tubuh seperti peluh, darah dan air liur.

Meskipun sembuh selepas dirawat, virus yang sudah lemah dalam tubuh bekas pesakit masih boleh berpindah ke tubuh individu lain dalam tempoh tujuh minggu.

Antara beberapa negara lain di Afrika yang pernah berdepan wabak EVD sejak tahun 1976 hingga 2012 ialah Uganda, Gabon, Afrika Selatan dan Ivory Coast.

Terdapat lima jenis genus EVD iaitu bundibugyo, zaire, reston, sudan dan tai ebolavirus (RESTV). Virus daripada spesies RESTV juga terdapat di Filipina dan China, namun belum ada kematian dilaporkan akibat virus jenis itu.


Tiada Vaksin

Dalam tempoh antara satu hingga tiga minggu selepas dijangkiti, pesakit akan menunjukkan simptom seperti demam mengejut, sakit otot serta pedih tekak. Ia diikuti muntah, cirit-birit, ruam, fungsi hati dan paru-paru terjejas serta pendarahan dalaman.

Kajian makmal menunjukkan EVD boleh mengakibatkan penurunan drastik sel darah putih dan penyusutan platlet darah yang berfungsi menghentikan pendarahan.

Sehingga hari ini, tiada vaksin yang sesuai untuk kegunaan klinikal ditemui bagi merawat Ebola. Rawatan lazim hanya melibatkan penjagaan rapi termasuk memasukkan cecair elektrolit dan intravena ke dalam tubuh pesakit.

Bekas pesakit yang berjaya dipulihkan sepenuhnya, William Benadict, 10, pula berkata, beliau dijangkiti Ebola ketika ibunya sedang tenat akibat simptom wabak yang sama.

"Saya menemani ibu di hospital ketika dia sakit. Selepas ibu meninggal dunia, saya pula jatuh sakit dan dirawat di hospital yang sama sehingga sembuh," ujar Benadict yang mendapat rawatan pantas sebaik menunjukkan simptom.

Pada pertengahan bulan Julai lalu, para pemimpin di Liberia, Sierra Leone dan Guinea bersetuju untuk mengadakan kerjasama mengumpul dana kecemasan sebanyak AS100 juta (RM340 juta) bagi memerangi wabak itu.

Ia termasuk kos ubat-ubatan, menggaji petugas perubatan dan perbelanjaan lain untuk menguruskan program pendidikan orang awam bagi menyekat penularan wabak.

Ketua Jawatankuasa Kesihatan Liberia, Peter Coleman berkata, kemiskinan menjadi penghalang utama dalam memastikan maklumat mengenai Ebola disebar secara menyeluruh kepada penduduk di negara itu.

"Majoriti penduduk tidak mempunyai radio. Bagi memastikan semua penduduk mendapat maklumat, ia perlu dilakukan melalui kempen dari kampung ke kampung. Ia memerlukan perbelanjaan sangat besar," kata Coleman.

Dalam pada itu, Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim berkata, pihaknya akan menyediakan dana RM700 juta terhadap Guinea, Liberia dan Sierra Leone dalam menghadapi ancaman wabak Ebola.

Yong Kim yang juga pakar penyakit berjangkit menambah, penularan Ebola sangat menyedihkan kerana ia melanda Afrika yang tidak mempunyai sistem dan fasiliti kesihatan sempurna seperti di negara maju.

"Paling membimbangkan, semakin ramai terdedah risiko kematian. Wabak harus dihentikan dengan cara terbaik," kata Yong Kim.




Mengulas situasi getir akibat Ebola, Yong Kim menambah, negara-negara terlibat juga dijangka mengalami penurunan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan antara 3.5 hingga 4.5 peratus.

Ujar beliau lagi, pergerakan perdagangan dua hala bagi negara-negara terlibat juga semakin perlahan sehingga menyebabkan kemasukan wang asing terhenti.

Selain perdagangan, kegiatan perlombongan bijih besi, berlian serta beberapa hasil galian lain turut terjejas di rantau berkenaan.

"Dalam sektor perlombongan, penurunan (pengeluaran) akan terus berlaku apabila bilangan pekerja mahir yang meninggalkan negara berkenaan terus meningkat akibat bimbang dijangkiti," ujar Yong Kim.

Kesan daripada penularan wabak juga menyebabkan beberapa syarikat pengangkutan udara menggantung penerbangan ke Guinea, Liberia dan Sierra Leone.

Ia termasuk syarikat Emirates berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menghentikan penerbangan ke Guinea sejak 2 Ogos lalu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Sensasi

Blog Archive